Kempen calon Pas DUN Serkam undang protes persatuan pengusaha bas
Selepas terpalit dengan dakwaan memalsukan kelayakan akedemik, calon PRN Melaka Perikatan Nasional DUN Serkam yang diwakili calon Pas, Ahmad Bilal di’gegau’kan pula dengan bantahan dari kalangan pengusaha bas.
Protes berpunca dari tindakan calon menggunakan bas 2 tingkat yang memaparkan sebahagian besar gambar calon dan pemimpin parti calon, Muhyiddin dan Hadi Awang.
Menurut Marina Ibrahim, pemilik akaun media sosial yang membangkitkan isu ini, wakil persatuan pengusaha telah menghantar mesej kepadanya membantah tindakan calon tersebut yang didakwa satu kesalahan jalan raya seperti termaktub dalam garis panduan yang dikeluarkan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).
Dia turut melampirkan ceraian garis panduan daripada JPJ yang dimaksudkan bagi membuktikan berlakunya pelanggaran undang-undang tersebut oleh calon tersebut.
Sementara itu, semakan yang dibuat menggunakan nombor plet bas tersebut mendapati ianya dimiliki oleh syarikat Zahafiz Travel & Tours (ZAHAFIZ) berdaftar di Alor Star, Kedah yang dipercayai majikan tempat calon bekerja sebelum ini dan berstatus komersial. Malah wujud kemungkinan penggunaan bas bagi tujuan kempen tersebut ditaja oleh syarikat yang dinamakan itu.
Sehubungan itu, pihak pengusaha bas meminta JPJ melalui Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) menyiasat dakwaan pengusaha bas tersebut. Malah sekiranya terbukti melanggar undang-undang, mereka mendesak pihak terbabit segera mengambil tindakan.