Kempen jadikan Kuching ibu negara kedua akan dijadikan modal PN Sarawak berdepan PRN
Bandaraya Kuching boleh diangkat sebagai ibu negara kedua negara ini, berikutan kedudukan strategiknya, termasuk berpotensi menjadi pintu masuk Asean, susulan pembukaan ibu negara Indonesia yang baharu di Kalimantan, kata Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Sarawak Jaziri Alkaf Suffian.
Katanya, ibu negara Indonesia berkenaan dijangka siap sepenuhnya pada 2025.
“Ini kerana kawasan lokasi ibu kota baharu (Indonesia) yang terletak di kawasan antara Penajam Paser Utara dan Kutai Kartanegara dan dinaungi dua kota iaitu Balikpapan dan Samarinda, dilaporkan telah diperuntukkan sebanyak USD$32 billion oleh kerajaan Indonesia dan dijangka akan beroperasi sepenuhnya menjelang 2025.
“Pembangunan itu nanti sudah tentu akan merapatkan perhubungan dua hala antara Malaysia dan Indonesia kerana akan lebih ramai rakyat saling berkunjung antara satu sama lain, selain dijangka membawa kemakmuran ke wilayah Kalimantan yang sekali gus akan dapat membawa tempias kemakmuran ke Sarawak dan Sabah,” katanya dalam kenyataan.
Jaziri berkata, dijangkakan pada 2050, Indonesia dilihat bakal menjadi ekonomi keempat terbesar dunia selepas China, AS dan India, malah lebih besar daripada Jepun.
“Maka, impaknya juga akan turut dirasai di Sarawak, Malaysia and juga di rantau Asean.Jadi, sudah sampai masanya pembangunan di Sarawak dan Sabah perlu selari dengan pembangunan di ibu kota baharu Indonesia nanti,” katanya.
Katanya, kita tidak mahu lagi terus ketinggalan dan hanya dapat melihat pembangunan yang pesat di Kalimantan, tetapi Sarawak dan Sabah masih tertinggal dari arus pembangunan dan rakyat masih tidak mendapat apa-apa manfaat dari pembangunan pesat ini.
“Oleh itu, saya sangat berharap agar Perdana Menteri dapat memperuntukkan sekurang-kurangnya 50% daripada keseluruhan peruntukan pembangunan asas Persekutuan untuk diagihkan kepada Sarawak dan Sabah,” katanya.
Katanya, usaha menambah peruntukan ini penting dalam menyahut keperluan apabila ibu kota baharu Indonesia terbabit beroperasi sepenuhnya kelak.
Pada 26 Ogos 2019, Presiden Indonesia Joko Widodo, mengumumkan sebuah ibu negara baharu akan dibina antara daerah pentadbiran Penajam Paser Utara dan daerah Kutai Kartanegara di wilayah Kalimantan Timur
Sumber – FMT