Kemurungan dikait punca kematian doktor wanita dalam bilik hotel hari ini
Doktor wanita yang ditemukan meninggal dunia di bilik di sebuah hotel di Pasir Panjang, Port Dickson, Negeri Sembilan, Jumaat lalu difahamkan mengalami kemurungan yang berkemungkinan berkaitan pekerjaannya.
Ketua Polis Port Dickson, Aidi Sham Mohamed, berkata perkara itu dimaklumkan ahli keluarganya kepada polis.
“Mangsa dikatakan mengalami kemurungan berkemungkinan disebabkan oleh pekerjaannya dan perkara tersebut dimaklumkan ketika temubual dengan keluarga mangsa.
“Pihak polis juga ada menemui beberapa jenis ubat-ubatan berkaitan kemurungan di dalam bilik tersebut,” katanya seperti dilaporkan portal FMT.
Sebelum ini, media melaporkan seorang wanita yang merupakan pegawai perubatan di sebuah hospital kanak-kanak di Petaling Jaya, ditemukan meninggal dunia di sebuah hotel di Pasir Panjang pada 20 Mei lalu.
Aidi Sham berkata, pada 2 petang, pihaknya menerima maklumat daripada pekerja sebuah hotel di Pasir Panjang yang menemui seorang wanita dalam keadaan tidak sedarkan diri terbaring di atas katil bilik.
“Siasatan awal mendapati tiada sebarang unsur jenayah didapati di tempat kejadian dan semakan pihak hotel mendapati mangsa mendaftar seorang diri pada 19 Mei lalu.
“Mangsa disahkan meninggal dunia oleh pembantu perubatan Klinik Kesihatan Pasir Panjang pada 2.56 petang. Si mati berusia 37 tahun dan masih bujang,” katanya.
Beliau berkata, polis mengklasifikasikan kes sebagai mati mengejut dan bedah siasat dijalankan di Jabatan Forensik Hospital Port Dickson dan punca kematian tidak dapat dikenal pasti.