Kenali pelopor acara menggaul ‘Yee Sang’ setiap kali sambutan Tahun Baru Cina

Kenali pelopor acara menggaul ‘Yee Sang’ setiap kali sambutan Tahun Baru Cina

 

Bagi masyarakat Cina di negara ini, sambutan Tahun Baru Cina dilihat seolah-olah tidak lengkap tanpa hidangan ‘Yee Sang’ yang menjadi penyeri buat setiap acara makan besar.

Dengan campuran hirisan sayur-sayuran seperti lobak merah dan lobak putih, halia, kepingan ikan mentah serta kekacang yang ditumbuk, ditambah pula dengan sos plum dan jus limau, menjadikannya begitu menyelerakan bagi sesiapa sahaja yang bertuah dapat menikmatinya.

‘Yee Sang’ yang merupakan antara hidangan tradisi dan popular Tahun Baru mempunyai maksud yang tersendiri berdasarkan bahan yang digunakan, sejarah dan sebutan nama makanan itu.

Menurut kepercayaan masyarakat Cina, terdapat beberapa jenis makanan tradisional termasuk ‘Yee Sang’ yang dilihat sebagai simbol kepada kemewahan, kekayaan, kebahagian dan kemakmuran.

Tapi tahukah anda pelopor upacara menggaul ‘Yee Sang’ ini?

Menurut seorang pengguna FB, Adrian Lim Chee En, upacara tradisi menggaul ‘Yee Sang’ ini dimulakan oleh seorang lelaki bernama Loke Ching Fatt yang ketika itu mengusahakan Restoran Loke Ching Kee sekitar tahun 1940 di Seremban, Negeri Sembilan.

Apa yang lebih mengejutkan dakwanya, Loke Ching Fatt merupakan datuk kepada Ahli Parlimen Seremban, Loke Siew Fook aka Anthony Loke yang kini merupakan Menteri Pengangkutan.

Dengan pendedahan ini, ia sekaligus menolak dakwaan selama ini bahawa tradisi menggaul ‘Yee Sang’ ketika Tahun Baru Cina kononnya dibawa dari negara Tanah Besar China.