Kenapa Najib panas dengan surat Tun M?

SURAT TUN DR MAHATHIR KEPADA PENGUNDI JOHOR
Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh dan salam sejahtera.
Ini surat kedua saya buat saudara dan saudari. Diharap semuanya sihat dan mendapat kerahmatan Allah Subhanahu Wa Ta’ala.
Setelah surat yang pertama, Datuk Seri Najib menyindir dan berkata bila saya mula ratib namanya bermakna saya sudah benar-benar pulih. Terima kasih juga kerana dia sempat doakan kesihatan saya.
Sebenarnya, saya amat malu “meratib” nama Datuk Najib. Dia memalukan Negara, bangsa dan agama. Malangnya dia sendiri tidak malu malahan berpura-pura seolah-olah dia teraniaya termasuk oleh saya.
Dia berharap rakyat Malaysia akan percaya dia tidak bersalah dan sebenarnya adalah mangsa penganiayaan saya dan musuh-musuh politiknya.
Ada yang terpengaruh dan percaya dan tampil mempertahankannya malah sanggup memanggilnya Boss, dan cium tangannya.
Perlu saya jelas bahawa sebelum berlakunya skandal 1MDB saya menyokong Datuk Najib malahan apabila Tun Abdullah lambat melantiknya sebagai Timbalan Perdana Menteri saya telah memberi tekanan terhadap Tun Abdullah, selepas beliau diangkat sebagai Perdana Menteri. Akhirnya Abdullah lantik Najib sebagai Timbalan Perdana Menteri.
Selain percaya Datuk Najib layak, saya juga merasa terhutang budi kepada bapanya Tun Razak kerana dia telah membantu kerjaya politik saya.
Malangnya Datuk Najib bukan seperti bapanya. Tun Razak seorang nasionalis dan pejuang bangsa yang bermaruah. Najib pula curi harta Negara dengan bantuan Jho Low.
Surat khabar luar Negara menggelarnya “Plundering Idiot”, dalam bahasa Johor saya percaya bermaksud penyamun tongong. Mahkamah Rayuan pula menghukum dia sebagai “National Embarassment”, orang yang memalukan Negara.
Walaupun begitu, Najib masih tidak malu dan sedang berusaha untuk mendapat kembali kekuatan politik. Dia percaya dengan memegang kembali kuasa politik, dia dapat lepas diri dari hukuman.
Dia perlu disekat kerana jika dia kembali berkuasa, ini bermakna Negara akan dikuasai dan ditadbir oleh seorang kleptokrat dari kluster mahkamah untuk disamun dan dirompak.
Tidak ada dendam peribadi di pihak saya terhadap Datuk Najib. Perlu saya ingatkan, ketika skandal 1MDB memuncak, adik Datuk Najib, Tan Sri Nazir sendiri telah datang menemui saya meminta saya lakukan sesuatu kerana wang berbilion telah hilang dan keadilan belum lagi dicapai terhadap jenayah yang telah dilakukan.
Tan Sri Nazir menulis panjang lebar mengenai skandal 1MDB dan jenayah-jenayah yang dilakukan oleh abangnya. Tulisan Nazir disebabkan perasaan malu keluarganya begitu bersalah.
Banyak lagi yang ditulis oleh Tan Sri Nazir yang dedahkan skandal Datuk Najib ini secara terperinci.
Saya akan terus ratib nama Datuk Najib ataupun sesiapa sahaja yang cuba untuk merosakkan negara dan menipu rakyat.
Semoga saudara dan saudari akan terus mendapat keberkatan.