Kenapa rakyat perlu tandatangan surat melepaskan tuntutan ganti rugi – Dr MAZA

Kenapa rakyat perlu tandatangan surat melepaskan tuntutan ganti rugi – Dr MAZA

Mufti Perlis, Mohd Asri Zainul Abidin menggesa Kementerian Kesihatan (KKM) agar tidak mewajibkan orang ramai menandatangani surat melepaskan tuntutan ganti rugi sekiranya yakin dos penggalak vaksin Covid-19 selamat.

Beliau berkata demikian selepas mendakwa ramai memaklumkan ada penerima mendapat kesan buruk selepas menerima dos penggalak.

“Jika KKM yakin tiada risiko buruk dos penggalak, maka saya dengan ini mohon mencadangkan supaya penerima tak perlu tandatangan surat yang menghalang tuntutan ganti rugi, sebaliknya KKM memberi jaminan bayaran pampasan jika berlaku apa-apa kesan buruk kesihatan pada penerima,” katanya dalam kenyataan yang dilaporkan portal FMT.

Dalam pada itu, Asri mahu KKM membuktikan dos penggalak vaksin Covid-19 selamat dengan memberi jaminan pampasan akan diberi “jika berlaku kesan buruk ke atas penerima”.

“Jika tidak, saya lihat kemarahan rakyat dalam isu ini makin membesar dan sukar ditangkis oleh kerajaan,” katanya.

Sementara itu, pihak portal FMT mengesahkam telah menghubungi Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin dan Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah untuk mengulas kenyataan Asri itu.

Pegawai Khairy ketika dihubungi berkata, menteri tidak akan memberikan sebarang reaksi kepada cadangan Asri itu.

Semalam, Khairy berkata hanya segelintir penerima dos penggalak dilaporkan mengalami kesan advers susulan imunisasi (AEFI).

Katanya, kadar pelaporan AEFI bagi dos penggalak direkodkan pada 84 bagi setiap 1,000,000 dos, berbanding kadar pelaporan AEFI keseluruhan 390 per 1,000,000 dos.

Asri sebelum ini menyuarakan kebimbangan terhadap keselamatan dos penggalak selepas bapanya dimasukkan ke hospital lebih seminggu, susulan keadaan kesihatannya merosot selepas menerima suntikan ketiga itu.

Pada 17 Jan lalu, KKM berkata, pihaknya sedang menjalankan siasatan berhubung kejadian AEFI membabitkan bapa Asri.