Kenderaan hampir tenggelam, Pegawai JKM hampir berpaut pada pokok kelapa sawit
Hari ini, menjadi bersejarah dalam umur pegawai Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Batu Pahat, Johor, apabila berdepan dengan detik cemas apaila kenderaan pacuan empat roda dinaiki hampir tenggelam akibat air banjir.
Berdasarkan video tular di media sosial, pegawai JKM berkenaan terperangkap dalam lautan air banjir di dalam sebuah kebun kelapa sawit lalu jerit meminta pertolongan sebelum diselamatkan oleh bot peronda.
Selalu selamatkan mangsa, kali ini lain pula jadinya…
Memetik laporan Harian Metro, pegawai JKM dikenali Siti Nadiah Mardi, 36, menceritakan detik cemas yang dialaminya bersama rakan sekerja dan pemandu kereta berusia 46 tahun.
Luahnya, kebiasannya mereka datang menghulurkan bantuan kepada mangsa banjir, namun lain pula yang terpaksa dihadapi.
“Kebiasaannya kami membantu mangsa namun pada kali ini kami sendiri berdepan dengan detik mencemaskan apabila kenderaan pacuan empat roda dinaiki hampir tenggelam,” ujar Siti Nadiah.
Lebih sejam berdepan situasi getir
Siti Nadiah berkata, pacuan empat roda Ford Everest yang dinaiki mereka ketika merentasi kawasan kebun kelapa sawit di Kampung Haji Kamisan menuju ke pusat pemindahan sementara (PPS) Parit Haji Kamisan, Yong Peng dibawa arus deras sehingga hanyut ke tepi.
Difahamkan, kejadian berkenaan berlaku pada jam 12 tengahari hari ini dan pada awalnya air banjir hanya pada paras sederhan namun semakin tinggi hingga ke paras berbahaya melebihi satu meter.
“Lebih sejam kami berdepan situasi getir dan saya tidak tahu boleh hidup lagi atau tidak.
“Air menghampiri bumbung kereta dan ketika itu kami sudah bersiap sedia berpaut pada pokok kelapa sawit,”katanya.
Hubungi pelbagai agensi datang bantu
Tambah Siti Nadia, mereka turut menghubungi pelbagai agensi dan rakan supaya segera datang membantu sebelum keadaan bertambah buruk.
“Selepas sejam, kami mendengar bunyi bot dan ketika itu kami menjerit meminta bantuan.
“Hanya tuhan saja mengetahui perasaan kami ketika itu, Alhamdulillah bot itu menuju ke arah kami dan difahamkan mereka menerima maklumat dan segera ke lokasi bagi menyelamatkan kami,” katanya lagi.
Detik cemas yang dilalui oleh mereka itu telah menyebabkan kesemua barangan yang dibawa dalam kenderaan termasuk makanan, minuman serta borang pendaftaran sudah rosak.
“Ini adalah kejadian kali pertama seumur hidup dan kami tidak akan lupakan dan akan dijadikan iktibar supaya lebih berhati-hati pada masa depan.
“Kami berterima kasih kepada keluarga, kenalan dan rakan sekerja yang mendoakan keselamatan kami,” katanya ketika dihubungi Harian Metro.
Bagaimana pun, mereka bersyukur kerana terselamat tanpa mengalami sebarang kecederaan setelah lebih sejam terperangkap.