Kenderaan tetap banyak, tiada perubahan ketara selepas 2 hari ‘total lockdown’

Kenderaan tetap banyak, tiada perubahan ketara selepas 2 hari ‘total lockdown’

Biarpun pusat beli-belah dan kebanyakan premis ditutup, namun jumlah kenderaan yang berada di jalan raya sekitar ibu kota dilihat hanya menunjukkan sedikit pengurangan.

Situasi itu dilihat pada hari pertama perlaksanaan Sekatan Pergerakan Penuh (SPP) melalui tinjauan dilakukan wartawan Harian Metro di beberapa lokasi sekitar ibu kota ini, hari ini, termasuk di Jalan Tuanku Abdul Rahman dan Bukit Bintang.

Seorang kakitangan agensi penguatkuasa, Linda Norman, 35, berkata, masih ada segelintir individu yang datang ke premis bagi urusan kaunter.

“Walaupun jumlah individu yang datang ke pejabat bagi urusan kaunter tidak begitu ramai seperti hari biasa, namun masih ada yang tampil meskipun tiada perkhidmatan kaunter tidak dibuka.

“Selain itu, ada juga individu yang bekerja di kawasan berhampiran dilihat keluar untuk membeli makanan serta barang keperluan harian,” katanya ketika ditemui, di sini, hari ini.

Seorang kerani di sebuah syarikat swasta, Shah Ibrahim, 40, berkata, keadaan di sekitar pusat bandar agak lenggang dengan sebahagian besar pusat beli-belah dan premis ditutup.

“Namun, jumlah kenderaan dilihat hanya berkurang sedikit berbanding sebelum ini (semalam) biarpun ‘total lockdown’ (SPP) berkuatkuasa hari ini.

“Namun, keadaan di pusat bandar agak lenggang kerana semua pusat beli-belah dan kebanyakan premis yang bukan dalam kategori perkhidmatan penting ditutup,” katanya.

Sementara itu, aliran trafik di sekitar pusat bandar ini dilihat lancar dengan hanya beberapa laluan sedikit sesak ekoran pemeriksaan di SJR.

Sumber: https://www.hmetro.com.my/mutakhir/2021/06/712654/jumlah-kenderaan-hanya-sedikit-berkurang-daripada-biasa