Kenyataan perlekeh UMNO, Sanusi buat ‘u-turn’ mengejut

Kenyataan perlekeh UMNO, Sanusi buat ‘u-turn’ mengejut

Disangkakan singa, rupanya tikus mondok. Begitulah yang layak diumpamakan terhadap MB Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Mohd Nor.

Tidak lama selepas dilaporkan membuat kenyataan keras ke atas Umno-BN, Pengarah Pilihan Raya PAS Pusat kelihatan cuba mengendurkan ketegangan yang berlaku dengan mendakwa kata-katanya itu di luar konteks.

Menurut Muhammad Sanusi Md Nor, kenyataan dibuatnya di Batu Pahat pada 12 Feb lalu itu hanya terhad kepada suasana PRN Johor.

Justeru katanya apa yang dikatakannya itu tidak ada kaitan dengan kerajaan Kedah.

Sanusi yang juga menteri besar Kedah berkata, pandangannya mengenai keberadaan Umno-BN yang ada kaitan dengan kestabilan politik dibuat berdasarkan keadaan di Johor.

“Dalam pergelutan politik, apabila ada pertandingan, maka akan berlaku perlawanan dan setiap orang pasti berkempen untuk partinya bukan untuk pihak lawan.

“Sewajarnya sebagai Ketua Pengarah Pilihan Raya PAS dan menganggotai PN saya mempertahankan parti saya dan memberi alasan kenapa ia perlu dipilih pada PRN Johor,” katanya seperti dilaporkan Malaysiakini.

Pada 12 Feb lalu Sanusi berkata kestabilan politik hanya boleh dicapai jika kemaraan Umno-BN untuk kembali menjadi kerajaan dan memerintah disekat.

Kononnya Kedah goyang

Hal itu kerana, katanya, apabila Umno-BN mendapat kuasanya semula parti terbabit mempunyai kecenderungan untuk mencetuskan PRN.

“Formulanya, (kalau) Umno tiada, kita boleh ada kestabilan. Mana-mana negeri yang Umno ada kerusi lebih sikit mesti PRN.

“Macam di Melaka, orang dia sendiri jatuhkan ketua menteri. Johor pun begitu kerana kerusi mereka lebih.

“Kita tengok negeri lain bila mereka (Umno) kerusi sikit, sikapnya lain. Seperti di Kedah kita tidak mengalami masalah, jadi syarat dia senang: kerusi dia (BN) sikit, jadi penting kita tentukan BN jangan menang banyak,” katanya dipetik Sinar Online.

Untuk rekod, Kedah adalah antara negeri yang disebut-sebut menjadi tumpuan Umno-BN untuk diadakan PRN selepas Johor. Bagaimanapun setakat ini pemimpin parti terbabit menafikannya.

Di Kedah, PAS memiliki 15 kerusi, diikuti enam Bersatu dan dua daripada Umno membentuk 23 daripada 36 kerusi yang ada dalam dewan undangan negeri.

Sesebuah parti atau gabungan memerlukan 19 kerusi untuk memiliki majoriti mudah bagi membentuk kerajaan negeri.

Sanusi juga meminta pihak yang tidak senang dengan kenyataan dibuatnya di Batu Pahat agar mendengar keseluruhan ucapannya kerana ia dibuat berdasarkan fakta yang tepat.

“Walaupun saya bercakap ada banyak bergurau tapi fakta saya betul dan tepat. Jangan (kait) dengan benda-benda lain… bawa balik ke Kedah konon Kedah goncang.

“Itu bukan konteksnya, yang saya berucap itu dalam konteks pilihan raya,” katanya.