Kenyataan mengalu-alukan Parti Bangsa Malaysia dalam PRN Johor, Zuraida makin berani cabar Bersatu

Kenyataan mengalu-alukan Parti Bangsa Malaysia dalam PRN Johor, Zuraida makin berani cabar Bersatu

Zuraida hari ini terus memberi bayangan bakal melompat ke Parti Bangsa Malaysia (PBM) selepas acapkali mengelak daripada mengulas mengenainya ketika diasak dengan soalan wartawan sebelum ini.

Ianya susulan kenyataannya menyambut baik penyertaan parti baharu Parti Bangsa Malaysia (PBM) dan Parti Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA) yang akan bertanding pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor, Mac depan.

“Saya sangat alu-alukan. Ia adalah langkah demokrasi, saya percaya mana-mana parti politik dalam negara ini mahu memberikan yang terbaik untuk negara.

“Selagi objektif (parti itu) mahu berkhidmat kepada rakyat, kita patut alu-alukan mereka. Kalau mereka melencong dari matlamat asal, kita tak perlu ikut mereka,” katanya seperti dilaporkan MalaysiaGazette.

Sementara itu, Zuraida yang juga merupakan Ahli Parlimen Ampang memaklumkan beliau belum menerima apa-apa notis rasmi daripada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) berhubung kedudukannya dalam parti tersebut.

Menurut Zuraida yang juga Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) PPBM, beliau baharu sahaja pulang dari lawatan kerja rasmi di Iran dan tidak mengetahui lebih lanjut mengenai situasi terkini.

“Saya baharu pulang dari Iran dan yang saya tahu saya masih menteri di sini (Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi).

“Saya tidak tahu apa yang berlaku (dan) saya tak dapat sebarang notis rasmi dari parti,” katanya menerusi sidang media selepas merasmikan Konvensyen dan Expo Antarabangsa Industri Getah Malaysia di Hotel One World di sini, hari ini.

Zuraida berkata demikian ketika ditanya mengenai kedudukan terkini di dalam Bersatu selepas terdapat dakwaan beliau akan menyertai Parti Bangsa Malaysia (PBM).

Pada 7 Februari lalu, Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, Zuraida masih lagi anggota parti yang juga ahli MPT.

“Kita belum lagi dapat membuat apa-apa keputusan tentang kedudukan beliau walaupun banyak yang menyatakan beliau sudah menyertai parti lain. Setakat ini saya tidak dapat lagi (tahu) keadaan sebenar.

“Ringkasnya beliau masih lagi ahli MPT dan kalau ada apa-apa perkembangan mungkin kita nanti akan buat penilaian bagaimana status beliau kerana bukan sahaja kedudukanya dalam MPT malah sebagai menteri,” kata beliau.

Sebelum ini, status Zuraida hangat diperkatakan selepas terdapat laporan beliau terbabit dalam menubuhkan PBM, selain terdapat ura-ura bakal meninggalkan Bersatu.