Kerajaan akan sewa kem PLKN untuk dijadikan lokap sementara

Kerajaan akan sewa kem PLKN untuk dijadikan lokap sementara

Kerajaan akan menyewa kem Program Latihan Khidmat Negara (PLKN), Kem Bina Negara dan fasiliti lain di seluruh negara untuk dijadikan depoh tahanan sementara.

Perkara itu dimaklumkan oleh Ketua Setiausaha Negara Mohd Zuki Ali menerusi satu kenyataan media hari ini.

Jelas Mohd Zuki, buat masa ini Polis Diraja Malaysia (PDRM) sedang berunding dengan pemilik kemudahan berkenaan jika ia dianggap sesuai untuk dijadikan lokap sementara.

Apabila dipersetujui nanti, katanya, kemudahan tersebut akan menempatkan banduan dan tahanan yang melakukan kesalahan ringan.

“Menggunakan fasiliti sedia ada bersesuaian serta mengelakkan daripada implikasi kewangan yang lebih besar bagi pembinaan fasiliti baru,” katanya.

Terdahulu, Mohd Zuki berkata, isu kesesakan di dalam penjara sehingga menyebabkan peningkatan kes Covid-19 dijangka dapat dikekang menerusi ordinan khas di bawah proklamasi darurat.

Jelasnya, kluster keselamatan dalam Jawatankuasa Teknikal Pengurusan Darurat boleh mencadangkan untuk meminjam dan menggunakan mana-mana bangunan untuk dijadikan depoh sementara.

Bagaimanapun cadangan itu dibantah oleh Kumpulan Rentas Parti Parlimen (KRPPM) yang dianggotai oleh beberapa wakil rakyat bipartisan.

Kata kumpulan itu, usaha tersebut boleh menambahkan risiko penularan Covid-19 bertambah buruk.

 

“Cadangan ini akan menimbulkan masalah logistik dan limitasi sumber kerana banduan yang dipindahkan ke tempat baru perlu menjalani saringan dan diasingkan terlebih dahulu sebelum dibenarkan berinteraksi bersama pihak di penjara baru,” kata KRPPM yang diwakili Timbalan Speaker Dewan Rakyat, Azalina Othman Said.

Untuk rekod PLKN ialah program yang mula dilaksanakan kerajaan BN pada 2004 untuk pelajar berusia 17 tahun dan ke atas selama tiga bulan.

Sampai secara holistik

Ia mendorong pembukaan pelbagai kem untuk menjalankan program tersebut. Bagaimanapun ada beberapa isu yang muncul daripada PLKN termasuk membabitkan kematian.

Dalam tempoh antara 2004 sehingga 2007, sebanyak 14 kematian pelatih dilaporkan termasuk tujuh kerana penyakit yang dihidapi mangsa seperti sakit jantung, denggi dan asma.

Pelaksanaan PLKN ditangguhkan pada 2015 sebagai langkah penjimatan yang membabitkan peruntukan kira-kira RM400 juta. Pengumuman mengenainya dibuat Najib Razak semasa dia mengumumkan semakan Belanjawan 2015.

Sementara itu, Mohd Zuki menambah, Mesyuarat Jawatankuasa Teknikal turut membincangkan perkara lain.

Antaranya, bantuan perkhidmatan tambahan kepada kakitangan awam khususnya dari segi kesihatan dan keselamatan serta penggunaan makmal sedia ada secara menyeluruh bagi tujuan pengujian Covid-19 secara besar.

Mengenai pembiayaan pesakit Covid-19 oleh pihak insurans di hospital swasta pula Mohd Zuki berkata ia sedang diperhalusi oleh Kementerian Kewangan, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), Bank Negara Malaysia dan industri insurans.

“Buat masa ini, peranan sektor swasta diperkasakan bagi merawat pesakit Covid-19 yang mampu membiaya sendiri kos perubatan dan rawatan.

“KKM akan terus melaksanakan libat urus dengan pihak hospital swasta dan pihak berkepentingan lain dalam memastikan kelancaran pengurusan Covid-19 serta perkhidmatan kesihatan umum tidak terjejas,” katanya.

Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia (KKMM) juga kata Mohd Zuki akan bertindak untuk mengumpul sebarang pandangan atau maklum balas rakyat bagi memberi gambaran sebenar kepada kerajaan mengenai situasi semasa darurat.

“KKMM juga akan bertindak secara strategik dengan mewujudkan saluran khas untuk memastikan segala maklumat berkaitan dengan pelaksanaan pengurusan darurat disampaikan kepada rakyat secara holistik dan tepat,” tambahnya. – MK