Kerajaan AS senarai hitam Petaling Street sebagai lokasi jualan barang tiruan & cetak rompak
Umum mengetahui, Petaling Street terkenal sebagai salah satu aktiviti jualan di ibu kota dan lokasi utama pelancong dari dalam dan luar negara.
Pun begitu, Pejabat Wakil Perdagangan Amerika Syarikat (USTR) baru-baru ini mengeluarkan senarai The Notorius Market List menerusi laporannya telah menamakan Petaling Street sebagai antara lokasi terkenal yang menjual barangan tiruan dan cetak rompak.
Dalam senarai tersebut, terdapat 39 pasaran dalam talian dan 33 pasaran fizikal didapati telah terlibat secara langsung atau tidak langsung dalam kerja-kerja pemalsuan tanda dagang serta cetak rompak hak cipta.
Menurut laporan itu, USTR mengkritik sikap pihak berkuasa tempatan yang tidak menjalankan tanggungjawab dengan cermat dalam mengekang aktiviti jualan barangan tiruan dan cetak rompak.
“Urusniaga terhadap barangan palsu dan cetak rompak secara berluasa ini telah mengancam keselamatan ekonomi Amerika kerana disifatkan sebagai satu perlecehan terhadap hasil kerja kami untuk mencipta dasar perdagangan yang saksama dan inklusif.
“The Notorious Markets List merupakan satu wadah yang penting bagi menggesa sektor swasta dan rakan kongsi untuk mengambil tindakan ke atas amalan-amalan berbahaya ini,” kata wakil USTR.
Dalam laporan itu, Petaling Street dikenal pasti sebagai lokasi pasaran fizikal yang menawarkan barangan palsu dan cetak rompak yang merangkumi pelbagai produk.
Antara barangan-barangan palsu yang boleh ditemui di sini termasuklah jam tangan, kasut, beg tangan, dompet, cermin mata hitam dan beberapa barangan berjenama lain.
Walaupun aktiviti jual beli di Petaling Street masih belum kembali ke tahap sebelum pandemik disebabkan kehadiran pelancong asing masih kurang, namun ia dipercayai terus menjadi lokasi tumpuan aktiviti penjualan barangan cetak rompak.
Laporan berkenaan turut mengenal pasti e-dagang WeChat sebagai salah satu platform terbesar yang menawarkan barangan cetak rompak di China. Selain itu, platform dalam talian yang turut tersenarai seperti Shopee, Ali Express, MP3, Juices, Taobao dan lain-lain.