Kerajaan bagi cuti 30 hari kepada pasangan pengantin baru

Kerajaan bagi cuti 30 hari kepada pasangan pengantin baru

 

Kelayakan dan faedah cuti kira-kira sebulan kepada pengantin baharu itu menjadi harapan kepada untuk menangani kadar kelahiran yang semakin menurun.

Beberapa wilayah di China merombak dasar cuti kahwin selama tiga hari ketika negara itu berusaha mencari jalan untuk menangani kemerosotan kadar kelahiran yang turut menjejaskan ekonomi, lapor laman berita Wion News kelmarin.

Menurut akhbar pemerintah, People’s Daily, negara itu kini memperkenalkan cuti bergaji selama 30 hari kepada pasangan pengantin baharu.

Perubahan besar-besaran itu dibuat untuk menggalakkan pasangan muda berkahwin dan mempunyai anak.

Walaupun cuti perkahwinan selama 30 hari diterima beberapa wilayah, sebilangan wilayah lain telah menetapkan tempoh selama 10 hari.

Wilayah Gansu dan Shanxi contohnya, menawarkan cuti selama 30 hari manakala Shanghai 10 hari selain Sichuan masih kekal tiga hari, demikian menurut People’s Daily.

Dekan Institut Penyelidikan Pembangunan Sosial, Universiti Kewangan dan Ekonomi Barat Daya, Yang Haiyang berkata, melanjutkan cuti perkahwinan adalah satu cara berkesan untuk meningkatkan kadar kesuburan.

“Cuti perkahwinan dilanjutkan di beberapa wilayah dan bandar yang mengalami perkembangan ekonomi yang agak perlahan,” ujarnya.

Populasi penduduk China terjejas selepas negara itu menguatkuasakan dasar seorang anak antara tahun 1980 hingga 2015. Pada 2022, China mencatatkan kadar kelahiran terendah iaitu 6.77 kelahiran bagi setiap 1,000 orang.