Kerajaan bakal umum bantuan khusus untuk B40, tak perlu pengeluaran khas bersasar

Kerajaan bakal umum bantuan khusus untuk B40, tak perlu pengeluaran khas bersasar

 

Kerajaan akan mengumumkan beberapa bantuan penting dalam masa terdekat, termasuk membuka peluang untuk menjana pendapatan tambahan kepada lebih ramai golongan B40, sebagai alternatif supaya rakyat tidak perlu mengeluarkan simpanan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).

Menteri Ekonomi Rafizi Ramli berkata pada masa yang sama kerajaan juga mula melihat kepada dasar dan program yang boleh meletakkan sasaran pertumbuhan gaji melalui Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12) yang sedang berlangsung.

“Ini kerana kerajaan mesti ada kerangka dasar yang jelas untuk tempoh dua hingga lima tahun akan datang bagi memastikan kenaikan gaji itu tidak diserahkan semata-mata kepada pasaran, dan semua perkara ini berbentuk jangka masa sederhana dan panjang,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam persidangan media selepas Sesi Kick-Off Dialog Strategik Yang Berhormat Menteri Ekonomi: Permerkasaan Industri Untuk Memacu Pertumbuhan Ekonomi Dalam Era Revolusi Perindustrian Keempat hari ini.

Menurutnya, perkara ini menjadi tanggungjawab kerajaan bagi memastikan rakyat Malaysia ada sedikit simpanan di hari tua nanti yang mana tumpuan akan diberikan dari segi bantuan serta dasar yang melibatkan kos sara hidup dan pendapatan.

“Kita perlu berhati-hati dengan pengeluaran KWSP, walaupun saya faham untuk sesetengah keluarga itu dapat membantu buat masa sekarang, tetapi kos yang terpaksa dibayar oleh mereka di kemudian hari adalah tinggi,” katanya.