Kerajaan benarkan kelab malam dibuka pertengahan Mei ini

Kerajaan benarkan kelab malam dibuka pertengahan Mei ini

Kelab malam akan dibenarkan dibuka semula mulai 15 Mei ini apabila Kementerian Kesihatan menarik balik senarai aktiviti dilarang atau ‘negative list’ Covid-19.

Menurut laporan disiarkan portal Malaysiakini semalam, Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin hari ini berkata satu set protokol keselamatan baharu sedang dirangka untuk memastikan keselamatan pengunjung ke premis tersebut.

“Semua senarai aktiviti yang tidak dibenarkan di dalam prosedur operasi standard (SOP) Majlis Keselamatan Negara (MKN) terbitan 1 April 2022 digugurkan.

“Agensi berkaitan sedang menyediakan protokol bagi pengoperasiannya.

“Prosedur ini akan mula berkuat kuasa pada Ahad, 15 Mei,” katanya ketika mengumumkan kelonggaran langkah kawalan dan pencegahan Covid-19 di negara ini selaras dengan fasa peralihan ke endemik, hari ini.

Sehingga hari ini, kelab malam adalah satu-satunya aktiviti yang kekal dalam senarai negatif kerajaan.

Ketika diminta mengesahkan perkara itu semasa sidang media sama ada penarikan semula senarai negatif itu bermakna kelab malam boleh mula dibuka semula selepas 15 Mei, Khairy membayangkan demikian.

“Itu satu-satunya tempat yang masih lagi berada dalam negative list.

“Jadi faham-fahamlah,” katanya pada sidang media di Putrajaya hari ini,” katanya.

Sehubungan itu, menteri itu berkata, agensi berkaitan sedang menyediakan protokol bagi pengoperasian sektor berkenaan.

“Kita dah ada sesi libat urus dengan persatuan premis-premis yang berkenaan dan ada beberapa protokol yang telah mereka cadangkan dan protokol yang mereka cadangkan pada kita dan telah bawa pada MKN untuk dimuktamadkan.

“Sebab itu saya kata bagi negative list, premis-premis masih dalam negative list berkuatkuasa 15 Mei supaya ada masa sikit untuk kita muktamadkan protokol supaya pelanggan-pelanggan premis tersebut selamat bila mereka pergi ke premis-premis berkenaan,” katanya.