Kerajaan didesak segerakan pembukaan disko dan kelab malam

Kerajaan didesak segerakan pembukaan disko dan kelab malam

Seramai 13 individu termasuk seorang penjawat awam dan remaja perempuan ditahan kerana terbabit berhibur dalam parti liar yang dianjurkan sejak kelmarin di sebuah unit pangsapuri di Medini, Iskandar Puteri, Johor.

Ketua Polis Daerah Iskandar Puteri, Dzulkhairi Mukhtar berkata, serbuan pada 4 pagi semalam itu membawa kepada penahanan 10 lelaki dan tiga perempuan berusia antara 17 hingga 27 tahun yang leka berhibur.

“Siasatan awal mendapati penganjur parti mengajak suspek yang terbabit menyertai parti itu menerusi aplikasi WhatsApp dan mereka tidak dikenakan apa-apa bayaran,” katanya dalam satu kenyataan.

Katanya, parti berkenaan bermula kira-kira 9 malam kelmarin dan dijadualkan berakhir lewat pagi Ahad (semalam).

Dzulkhairi berkata, pihaknya turut merampas set pembesar suara dan set peralatan lampu laser, manakala ujian saringan air kencing mendapati sembilan suspek lelaki dan dua suspek perempuan positif dadah.

Tambah beliau, semakan lanjut turut mengesahkan dua daripada individu itu mempunyai rekod lampau berkaitan dadah.

“Kes ini disiasat mengikut Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan peruntukan berkaitan kerana melanggar (SOP) Perintah Pelan Pemulihan Negara (PPN),” katanya.