Kerajaan digesa laksana cukai GST untuk kukuhkan kewangan negara

Kerajaan digesa laksana cukai GST untuk kukuhkan kewangan negara

 

Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) pada kadar serendah mungkin serta merangkumi seluruh barangan dan perkhidmatan tanpa pengecualian disyorkan agar diperkenalkan semula oleh kerajaan.

Menurut penganalisis, ini juga termasuklah bagi harga minyak runcit yang dilihat sebagai satu usaha kerajaan yang boleh dilaksanakan bagi meningkatkan kecekapan kutipan hasil, sekali gus mengukuhkan kembali kedudukan kewangan negara bagi mendepani ketidaktentuan global.

Langkah sedemikian juga menurut Ketua Ekonomi Bank Islam Malaysia Bhd, Firdaos Rosli, berupaya membuatkan kos pengendalian GST menjadi lebih mudah dan murah, sekali gus membenarkan kadar cukai kepenggunaan itu diperkenalkan hanya antara dua hingga tiga peratus sebagai permulaan.

“Kaedah ini juga digunakan Singapura apabila GST diperkenalkan pada 1994 yang bermula pada kadar tiga peratus dan kemudian dinaikkan secara beransur-ansur kepada empat peratus pada 2003; lima peratus (2004); tujuh peratus (2007) dan akhirnya lapan peratus (2023).

“Ini berbeza daripada Indonesia apabila mengekalkan kadar GST pada 10 peratus sejak 1984. Ia hanya dinaikkan kepada 11 peratus pada April tahun lalu dan mungkin dinaikkan kepada 12 peratus pada 2025 kelak. Secara umumnya, kadar GST yang terlalu tinggi ada keburukan juga,” jelasnya kepada wartawan.

Tambahnya lagi, isu mengenai pengenalan sistem GST yang bermula sejak 1980-an tidak boleh diketepikan begitu sahaja oleh kerajaan, sebaliknya perlu diguna pakai dan diperhalusi dari semasa ke semasa.

“Jika tidak, posisi fiskal kerajaan akan jauh ketinggalan daripada perkembangan ekonomi negara.

“Ada beberapa kita perlukan GST. Antaranya, hasil kerajaan berbanding Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) menurun sejak 1992 daripada 26.2 peratus ke 15.1 peratus pada 2021.

“Pertumbuhan hasil kerajaan pada asas tahun ke tahun menunjukkan arah aliran negatif dalam kebanyakan tempoh dekad yang lalu walaupun GST diperkenalkan pada 1 April 2015.

“Hutang kerajaan berbanding KDNK meningkat sejak krisis kewangan dunia 2008 dan lebih tinggi lagi disebabkan COVID-19,” ujarnya lagi.

Menurutnya lagi, perbelanjaan kerajaan kini semakin meningkat dengan kadar subsidi turut bertambah, malah mungkin mencecah RM71 bilion tahun lalu yang akan mencatatkan rekod tertinggi dalam sejarah.

Sementara itu, Setiausaha Agung Persatuan Akauntan Percukaian Malaysia (MATA), Dr Mohd Fairuz A Razak pula berkata, kerajaan perlu mempertimbangkan dengan serius untuk memperkenalkan semula GST 2.0 pada kadar empat peratus.

Sifat dan mekanisme GST tersebut sebenarnya dapat membantu lagi kerajaan untuk mengutip hasil cukai, khususnya dalam sektor ekonomi tidak formal.