Kerajaan disaran perbanyakkan wad tekanan negatif, bukannya ambulan – Dr. Dzul

Kerajaan disaran perbanyakkan wad tekanan negatif, bukannya ambulan – Dr. Dzul

Seorang bekas menteri kesihatan sekali lagi mengkritik perancangan kerajaan untuk membeli ambulans tambahan dengan berkata ia patut dilakukan lebih awal.

Mengulas penjelasan Kementerian Kesihatan (KKM) mengenai isu itu, Dzulkefly Ahmad berkata pembelian ambulans berkenaan sepatutnya dibuat ketika kes jangkitan Covid-19 mula berlaku di Malaysia sebagai “persediaan untuk yang terburuk.”

Bagaimanapun, susulan kejatuhan kerajaan itu pada Februari tahun lalu, Dzulkefly berkata isu pembelian ambulans tidak lagi berbangkit.

“Tindakan kerajaan dan kementerian sekarang tidak memandang betapa pentingnya untuk memperkukuh jumlah ambulans, sama ada jenis A atau B, adalah membingungkan,” katanya kepada FMT.

Ambulans jenis A digunakan oleh pasukan tindak balas pertama, manakala jenis B untuk membawa pesakit.

Dzulkefly juga menganggap “sayang” apabila perbincangan mengenai pembelian lebih banyak ambulans dibuat ketika negara ini sudah merancang strategi keluar bawah Pelan Pemulihan Negara.

Menurutnya, sebarang penambahan ambulans kementerian sepatutnya dilakukan lebih awal kerana banyak kenderaan itu yang sudah uzur dan tidak boleh diperbaiki lagi.

“Lebih teruk lagi apabila mereka kini hanya bercakap mengenai ambulans tekanan negatif serta penapis udara berzarah kecekapan tinggi (HEPA).”

Penapis HEPA digunakan untuk mengawal pencemaran.

Semalam, KKM menjelaskan bahawa tidak semua 500 ambulans yang mahu dibeli itu adalah jenis tekanan negatif.

KKM turut menjelaskan Menteri Kesihatan, Dr Adham Baba telah disalah faham.

Adham dilaporkan berkata, kementerian itu akan membeli lebih banyak ambulans tekanan negatif untuk membawa pesakit Covid-19 ke pusat rawatan. Ini akan bermula dengan tender 500 ambulans, manakala ambulans lain akan menggunakan sistem sewa beli mengikut zon.

Susulan laporan awal itu, Dzulkefly mempertikaikan keutamaan diletakkan oleh Putrajaya dengan menyoal rasional di sebalik cadangan pembelian ambulans berkenaan.

Katanya, kerajaan sepatutnya melabur dalam lebih banyak wad tekanan negatif di hospital dengan merujuk jumlah kematian yang tinggi sejak kebelakangan ini.

Sumber : FMT