Kerajaan enggan lagi teruskan Program Sarapan Percuma

Kerajaan enggan lagi teruskan Program Sarapan Percuma

Hasrat mantan Menteri Pendidikan PH, Dr. Maszlee Malik untuk melihat Program Sarapan Pagi (PSP) yang dirintisnya terus dilaksanakan nampaknya tidak kesampaian apabila kerajaan melalui Menteri KPM memaklumkan tidak akan meneruskannya.

PSP yang mula diperkenalkan pada 2019 ketika Maszlee menjawat jawatan menteri p
Pendidikan di bawah kerajaan Pakatan Harapan. Namun program itu hanya mula dilaksanakan pada awal tahun lepas.

Semasa sidang Dewan Rakyat pada 30 September lalu, Maszlee berkata mengikut kajian pada 2019 pelaksanaan program PSP dijangka akan memberi manfaatkan kepada hampir 2.7 juta murid bagi tempoh 200 hari setahun.

Malah Persatuan Ibu Bapa dan Guru Nasional (PIBGN) juga menyambut baik usaha beliau ketika itu malah menganggap bantuan Program Sarapan Pagi (PSP) yang dilaksanakan bakal menyuntik semangat baru kepada pelajar dari keluarga kurang berkemampuan untuk terus memberikan komitmen dalam meningkatkan kualiti pendidikan mereka nanti.

Menurut laporan Themalaysianinsight, kerajaan melalui KPM akan hanya memberi fokus kepada program Rancangan Makanan Tambahan (RMT) dan Program Susu Sekolah kepada murid B40 yang layak di sekolah rendah yang akan diteruskan dengan penambahbaikan.

“KPM yakin pelaksanaan RMT pada ketika ini dapat memberi impak positif kepada keadaan kesihatan, fizikal dan amalan pemakanan sihat oleh murid sekolah rendah khususnya murid B40,” menurutnya dalam jawapan bertulis di Dewan Rakyat semalam.

KPM menjawab soalan Ahli Parlimen Maszlee Malik (Simpang Renggam-Bebas) sama ada kerajaan bercadang untuk memperkenalkan semula PSP untuk murid sekolah rendah pada tahun depan.