Kerajaan enggan tetapkan harga siling kit ujian kendiri Covid-19

Kerajaan enggan tetapkan harga siling kit ujian kendiri Covid-19

Kerajaan tidak akan menetapkan harga siling kit ujian kendiri Covid-19, kata Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Rosol Wahid.

Beliau berkata, beberapa syarikat pengeluar memaklumkan kepada kementerian mereka sanggup menjual kit ujian pada harga bawah RM10, lapor portal FMT.

Pada masa ini, harga siling bagi kit itu ialah RM19.90 seunit, manakala harga borong RM16. Kerajaan sebelum ini berkata kos itu akan diturunkan lagi.

Dalam pada itu, Rosol berkata syarikat pengeluar kini memberi jaminan mereka boleh menjual kit pada harga lebih rendah, kerajaan tidak perlu menetapkan harga maksimum atau minimum.

“Jika dibenarkan dijual di pasaran terbuka yang diluluskan Pihak Berkuasa Peranti Perubatan (MDA), maka mereka boleh jual dengan harga lebih murah,” katanya ketika sesi penggulungan Rang Undang-Undang Perihal Dagangan (Pindaan) 2021 di Dewan Rakyat yang diluluskan tanpa sebarang pindaan.

Rosol berkata, kerajaan akan membenarkan kit ujian itu dijual bukan saja di farmasi tetapi akan diperluas ke pasar raya, kedai rangkaian dan stesen minyak dalam masa terdekat