Kerajaan PAS Kelantan telah terima royalti minyak RM418.9 juta sejak 2008

Kerajaan PAS Kelantan telah terima royalti minyak RM418.9 juta sejak 2008

Kerajaan negeri Kelantan meminta kerajaan persekutuan menetapkan satu nama sahaja berkaitan wang royalti minyak bagi mengelakkan kekeliruan.

Menteri Besar Kelantan, Ahmad Yakob berkata, setakat ini kerajaan negeri menerima wang royalti daripada kerajaan persekutuan dengan tiga nama  berlainan.

“Pertama digunakan nama ‘penyaluran peruntukan wang ihsan 2020’. Kalau melalui jawapan di Dewan Rakyat pada 28 Julai 2020, yang dijawab oleh menteri hal ehwal ekonomi (ialah) ‘bayaran tunai petroleum’.

“Dan terakhir dijawab dalam Dewan Rakyat oleh menteri hal ehwal ekonomi dengan nama bayaran khas petroleum. Ada tiga nama,” katanya pada sesi penggulungan sidang dewan undangan negeri (DUN), di Kompleks Kota Darulnaim, Kota Bharu, hari ini.

Sebagai rekod isu wang royalti Kelantan sentiasa menjadi perdebatan sejak zaman pentadbiran Umno di peringkat persekutuan.

Konflik juga timbul selepas PH mengambil alih Putrajaya pada pilihan raya umum lalu apabila kerajaan persekutuan mendakwa sudah membayar sejumlah wang royalti, namun ia tidak diiktiraf oleh kerajaan Kelantan.

Sementara itu Ahmad ( PAS- Pasir Pekan) berkata, sejak 2008 hingga Ogos tahun ini sebanyak RM418.9 juta (wang dengan tiga nama tersebut) diterima.

“Jadi kerajaan bersetuju untuk meminta kerajaan persekutuan memberi satu nama sahaja sama ada ia tunai petroleum, wang ihsan, atau wang khas supaya dapat kita maklum kepada rakyat inilah wang sejak 2008 hingga 2020 sebanyak lebih RM400 juta.

“Jadi kita tunggu, apabila saya bangkitkan kepada menteri dia kata perdana menteri akan memberi penjelasan kepada menteri besar Kelantan. Insya-Allah selepas Belanjawan 2020,” jelasnya.

Sumber: Malaysiakini