Kerajaan Pas Terengganu bagi jaminan pelancong asing boleh ‘berbikini’ di Terengganu
Kerajaan negeri Terengganu memberi jaminan pelancong bukan Islam tidak terikat dengan etika berpakaian menutup aurat ditetapkan dalam penguatkuasaan Garis Panduan Hiburan, Persembahan Kebudayaan dan Sukan Terengganu apabila berkunjung ke negeri ini.
Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim Terengganu, Datuk Razali Idris berkata, etika pemakaian tersebut yang telah dikuatkuasakan sejak tahun 2020 berkenaan hanya tertakluk kepada pelancong Muslim.
“Pelancong bukan Islam boleh berpakaian seperti biasa yang bersesuaian dengan aktiviti mereka lakukan sewaktu percutian di negeri ini.
“Mereka boleh memakai sut renang kalau hendak mandi di pantai pulau peranginan tetapi janganlah pakai di tempat awam seperti Pasar Besar Kedai Payang,” katanya selepas merasmikan Pesta Peranakan Cina Terengganu di sini malam tadi.
Beliau mengulas polemik pematuhan etika pemakaian menutup aurat dalam kalangan pelancong yang dicetuskan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ladang, Zuraida Md. Noor pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu pada minggu lalu.
Zuraida yang merupakan satu-satunya wakil rakyat wanita negeri ini mendesak agar penguatkuasaan diperketatkan ekoran peraturan itu didakwa kurang dipatuhi.
Razali menjelaskan etika berpakaian tersebut berniat murni mendidik pelancong Muslim menikmati percutian dalam suasana harmoni tanpa mengetepikan syariat pemakaian ditetapkan Islam.
Jelas beliau, peraturan bukan bertujuan menghukum tetapi lebih kepada untuk mendidik golongan terbabit.