Kerajaan PAS Terengganu lega dapat dana khas dari kerajaan Anwar

Kerajaan PAS Terengganu lega dapat dana khas dari kerajaan Anwar

 

Kerajaan Perseketuan akan terus memberi komitmen dengan pemberian Dana Khas Kerajaan Persekutuan (DKKP) kepada kerajaan Terengganu seperti yang disalurkan sebelum ini.

Menteri Besar, Datuk Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, khabar gembira itu dimaklumkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam satu pertemuan di Putrajaya, semalam.

Menurut Utusan Malaysia, Ahmad Samsuri memaklumkan dana khas tersebut akan diberi kepada kerajaan negeri pada akhir bulan ini.

“Bagaimanapun, jumlahnya tidak diketahui lagi, kena tunggu duit itu masuk dulu.

“Namun, kita menganggarkan agak banyak juga berdasarkan harga minyak yang tinggi pada tahun lepas.

“Wang tersebut juga akan dibayar sebanyak dua kali setahun,” katanya.

Pertemuan tersebut juga dilihat sebagai satu petanda positif terhadap hubungan federalisme yang lebih erat antara kerajaan negeri dan Pusat selepas ini.

“Beberapa keputusan penting yang lain juga akan dilaksanakan oleh kerajaan Pusat di Terengganu namun masih belum boleh dimaklumkan setakat ini.

“Pelbagai perkara dibincangkan dengan penuh semangat keterbukaan dan positif, berkait dengan urusan negeri dan Persekutuan.

“Ini termasuk program pembasmian kemiskinan, pembangunan, kewangan dan lain lain,” katanya.