Kerajaan Pas Terengganu yakin tunai 90 peratus manifesto PRU akhir tahun ini sekalipun hanya mampu tawar bil air percuma menggantikan bonus
Kerajaan Terengganu yakin dapat menunaikan 90 peratus manifesto Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) yang dijanjikan kepada rakyat menjelang hujung tahun ini.
Menteri Besar, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, setakat ini pihaknya sudah menunaikan 70 peratus iaitu 14 daripada 20 manifesto PRU14 dalam tempoh tiga tahun mengambil alih pentadbiran kerajaan negeri.
“Jawatankuasa Induk Manifesto Negeri Terengganu meletakkan sasaran empat lagi agenda manifesto akan dilaksanakan menjelang hujung tahun ini menjadikan jumlahnya 18 daripada 20 manifesto atau 90 peratus.
“Walaupun dalam keadaan suasana ekonomi mencabar dan pandemik COVID-19 yang ada, kerajaan negeri tetap berusaha untuk menunaikan janji yang kita berikan kepada rakyat,” katanya ketika menyampaikan perutusan khas Sempena Tiga Tahun Pentadbiran Kerajaan Terengganu secara dalam talian, malam tadi.
Antara 14 manifesto itu adalah bantuan RM300 kepada belia mendapatkan lesen motosikal, menyediakan 20,000 peluang pekerjaan dalam tempoh empat tahun, menyediakan Kad Sejahtera bernilai RM500 setahun untuk golongan berpendapatan rendah dan mengecualikan cukai pintu rumah kediaman.
Ahmad Samsuri yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rhu Rendang berkata, inisiatif kerajaan PAS Terengganu memperkenalkan Budaya Politik Matang dan Sejahtera (BPMS) berjaya mengendurkan ketegangan yang ada di samping menumpulkan pertembungan tajam.
“Sebelum ini, sesama kita terkenal dengan politik yang tegang dan pertembungan tajam. Komitmen kita adalah untuk terus berusaha agar sama-sama mampu duduk berlaga lutut berbicara, biarlah buruk dibuang dengan rundingan, baik ditarik dengan muafakat,” katanya.
Sebagai kerajaan yang menjadikan Islam sebagai dasar, Ahmad Samsuri berkata, agenda pemerkasaan Islam tetap menjadi fokus kerajaan Terengganu dengan meneruskan kesinambungan pemerkasaan syariat Islam di sini.
Beliau berkata, antara inisiatif yang diambil adalah membangunkan Garis Panduan Patuh Syariah Hiburan, Kebudayaan, Pelancongan dan Sukan dan menubuhkan beberapa agensi bertindak seperti Skuad Amar Makruf Nahi Mungkar.
Katanya, pihaknya mewujudkan sistem pendidikan Islam yang komprehensif bermula daripada tadika dan menitikberatkan elemen patuh syariah dalam soal urus niaga kerajaan termasuk mendapatkan kembali status patuh syariah TDM Berhad selepas beberapa tahun status itu ditarik.
“Pastinya proses ini perlu dilakukan dengan cermat, dan secara tadarruj (iaitu berperingkat), serta tidak tergopoh-gapah.
“Agenda pemerkasaan syariat Islam ini juga mengambil masa dan proses yang panjang. Oleh kerana itu, kerjasama dan kefahaman daripada semua pihak, amatlah diharapkan bagi merealisasi impian ini,” katanya. – BH