Kerajaan, pembangkang Perak perlu bekerjasama wujudkan keadaan politik yang stabil

Kerajaan, pembangkang Perak perlu bekerjasama wujudkan keadaan politik yang stabil

Kerajaan negeri dan pembangkang di Perak perlu bekerjasama untuk kembali kepada asas perjuangan iaitu berkhidmat dan memastikan kesejahteraan rakyat sentiasa terpelihara.

Titah Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah yang menegur situasi politik yang tidak menentu di negeri itu perlu dijadikan iktibar untuk semua ahli politik di negeri itu, supaya ia tidak menjejaskan matlamat untuk terus membangunkan negeri.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rungkup, Datuk Shahrul Zaman Yahya, berkata perbezaan pendapat boleh wujud, namun perlu ada tatacara dalam menangani perbezaan itu supaya perselisihan yang timbul dapat ditangani dengan baik dan jalan penyelesaian dapat dicapai.

“Barisan Nasional (BN), Perikatan Nasional (PN) serta pembangkang perlu kembali kepada asas dan untuk itu, kita perlukan keadaan politik yang stabil seperti yang dititahkan Tuanku.

“Ideologi politik boleh berbeza namun semua pihak perlu mencari titik persamaan kerana pasti ada visi, misi dan objektif yang sama, yang bersifat nasional dan universal.

“Kami semua perlu fokus untuk mengembalikan kemakmuran rakyat kerana kami adalah kerajaan rakyat, daripada rakyat dan untuk rakyat,” katanya kepada BH, hari ini.

Semalam, Sultan Nazrin bertitah, pelantikan Menteri Besar sebanyak tiga kali sejak Pilihan Raya Umum Ke-14 di Perak, bukannya kejayaan dan sejarah yang mahu dibanggakan.

Baginda bertitah, perkara yang berlaku itu akan tercatat dalam sejarah sebagai cerminan kegagalan dan bukannya kejayaan kepemimpinan politik mendapatkan sokongan padu.

Titah baginda, rakyat meletakkan harapan kepada wakil rakyat untuk menambah baik kawasan tempat tinggal mereka, membantu menyediakan keperluan dan perkhidmatan, membantu meningkatkan taraf ekonomi serta memenuhi sebanyak mungkin keperluan sosial mereka.

Sementara itu, mengenai pelantikan semula beliau sebagai Ahli Majlis Mesyuarat Negeri (EXCO) negeri, Shahrul Zaman menjunjung kasih atas perkenan Sultan Nazrin ke atas pelantikan beliau dan EXCO yang lain, semalam serta mengucapkan terima kasih kepada Menteri Besar, Datuk Saarani Mohamad atas kepercayaan yang diberikan.

Beliau yang sebelum ini memegang jawatan Pengerusi Jawatankuasa Industri, Pelaburan dan Pembangunan Koridor, berkata fokus kerajaan negeri kini adalah pembentangan Belanjawan 2021 bagi Perak Rabu ini, dalam usaha memastikan kesan penularan COVID-19 dapat terus ditangani untuk jangka masa pendek dan sederhana, serta membina semula ekonomi negeri itu.

Sumber: https://origin.bharian.com.my/berita/nasional/2020/12/764109/kerajaan-pembangkang-perak-perlu-kembali-kepada-asas-perjuangan?fbclid=IwAR16F5I4wsOQasiOGVYgaLJok6Ks3l1UAK7pA2MqK3MUWJm4THDHpxWac7k