Kerajaan Perpaduan : Ada pihak larang Dr. M bincang dengan Amanah

Kerajaan Perpaduan : Ada pihak larang Dr. M bincang dengan Amanah

Bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad membayangkan ada pihak tertentu yang melarang Amanah daripada membincangkan soal kerajaan perpaduan dengannya.

Mahathir berkata demikian ketika menafikan pertemuannya dengan beberapa pihak, termasuk Presiden Amanah Mohamad Sabu, pada akhir bulan lalu adalah untuk membincangkan perkara tersebut.

“Tak bincang. Tak ada. Kita tak boleh buat dengan dia (Mohamad Sabu).

“Ada orang tak bagi. Ada orang tak bagi bukan dengan Mat Sabu…dengan parti dia,” katanya di Langkawi hari ini, seperti dipetik Free Malaysia Today.

Bagaimanapun, Mahathir tidak menjelaskan secara khsusus individu yang dimaksudkan itu.

Sebelum ini, laman Facebook kelab penyokong Mahathir, Kelab Che Det memuat naik gambar pertemuannya dengan Mohamad, Ahli Parlimen Gua Musang Tengku Razaleigh Hamzah dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Zulkifli Mohamad.

Sumber memberitahu Malaysiakini bahawa pertemuan itu – yang dikatakan di kediaman Mahathir di Seri Kembangan, Selangor dan dibuat secara berasingan – membabitkan perbincangan mengenai cadangan membentuk kerajaan perpaduan.

Dalam laporan Free Malaysia Today hari ini, Mahathir berkata ia hanyalah pertemuan biasa.

Katanya, Razaleigh perna menjadi anggota Kabinetnya, Zulkifli datang untuk menunjukkan buku yang ditulis berkenaan Covid-19 dan Mohamad memang sering berjumpa untuk berbincangan berkenaan politik.

Semasa menjadi perdana menteri sementara akhir Februari lalu, Mahathir juga mencadangkan penubuhan kerajaan perpaduan merangkumi pelbagai parti politik.

Cadangan kerajaan perpaduan kembali muncul di tengah-tengah kemelut politik baru-baru ini – dengan Umno menimbang untuk menarik balik sokongannya kepada kerajaan Perikatan Nasional (PN) dan majoriti tipis yang dimiliki Muhyiddin.

Muhyiddin berdepan cabaran untuk memastikan Belanjawan 2021 yang dijangka dibentangkan pada 6 Nov diluluskan di Dewan Rakyat, atau ia akan menjadi satu bentuk undi tidak percaya ke atasnya.

Bagaimanapun Yang di-Pertuan Agong Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah telah menasihati semua ahli politik agar memberi sokongan terhadap belanjawan itu, yang akan diundi pada 17 November.

Difahamakan, hari ini Menteri Kewangan Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz akan bertemu pemimpin PH dan Umno bagi mendapatkan maklum balas mereka berkenaan Belanjawan 2021.

Sumber: Malaysiakini