Kerajaan Perpaduan terima 31,600 orang kuota tunaikan haji bagi tahun 2023 daripada Arab Saudi

Kerajaan Perpaduan terima 31,600 orang kuota tunaikan haji bagi tahun 2023 daripada Arab Saudi

 

Masyarakat Muslim di Malaysia menerima berita gembira selepas ditawarkan kuota haji sebanyak 31,600 tempat oleh kerajaan Arab Saudi bagi musim 1444H Tahun 2023M.

Kenyataan ini diumumkan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Nai’im Mokhtar menerusi FBnya sebentar tadi.

KENYATAAN MEDIA
MENTERI DI JABATAN PERDANA MENTERI
(HAL EHWAL AGAMA)

MENGENAI
JUMLAH KUOTA HAJI MALAYSIA UNTUK MUSIM HAJI
TAHUN 1444H/2023M

Bersempena Persidangan Perkhidmatan Haji dan Umrah 2023 yang dianjurkan oleh Kerajaan Arab Saudi, saya telah mengadakan mesyuarat khas bersama Menteri Haji dan Umrah, Kerajaan Arab Saudi, Dr. Tawfiq Fawzan Al-Rabia pada 9 Januari 2023.

Mesyuarat khas tersebut berlangsung dengan penuh mahabbah khususnya membincangkan aspek persiapan Musim Haji Tahun 1444H/2023M. Di dalam mesyuarat tersebut, Dr Tawfiq Fawzan Al-Rabiah telah memuji negara Malaysia khususnya pihak Lembaga Tabung Haji (TH) atas pengendalian haji yang terbaik, sistematik dan tahap layanan jemaah haji yang patut dicontohi.

Saya telah memberikan penegasan bahawa TH akan sentiasa berusaha memberikan perkhidmatan yang terbaik kepada bakal jemaah Haji Malaysia dan akan mematuhi ketetapan daripada Kerajaan Arab Saudi.

Sehubungan dengan itu, saya sukacitanya ingin mengumumkan bahawa Kuota Haji Malaysia yang diterima daripada Kerajaan Arab Saudi adalah sebanyak 31,600 orang untuk tahun 1444H/2023M.

Bagi pihak Kerajaan Malaysia, saya menzahirkan rasa amat bersyukur dan mengucapkan jutaan terima kasih kepada Kerajaan Arab Saudi atas kuota penuh ini. Saya yakin penilaian telah dibuat dalam semua aspek bagi memastikan keselamatan bakal-bakal jemaah haji dari seluruh dunia terjamin semasa menunaikan rukun Islam yang ke-lima

Saya ingin memohon kepada semua umat Islam dapat bersama-sama berdoa kepada Allah SWT agar mempermudahkan perjalanan haji tahun ini serta mendoakan semoga pihak TH dapat menguruskan jemaah haji Malaysia dengan baik dan lancar.

Sekian, terima kasih.

DATO’ SETIA DR. HJ. MOHD NA’IM HJ. MOKHTAR
Menteri di Jabatan Perdana Menteri
(Hal Ehwal Agama)
10 Januari 2023

Kejayaan ini sekaligus memadam episod duka jemaah haji tahun lalu bila mana di atas kelemahan pengurusan bekas menteri agama ketika itu, Idris Ahmad, negara hanya diperuntukkan kuota haji sebanyak 14,306 jemaah sahaja.

Dengan pertambahan lebih 2 kali ganda ini, ianya sekaligus membuktikan penerimaan baik dari kalangan negara Timur Tengah, terutamanya pemimpin Arab Saudi terhadap kepimpinan Datuk Seri Dr. Anwar Ibrahim.

Sumber – FB Dato’ Setia Dr. Naim