Kerajaan pilih anjur taklimat isu tuntutan waris Sultan Sulu di hotel lima bintang berbanding parlimen

Kerajaan pilih anjur taklimat isu tuntutan waris Sultan Sulu di hotel lima bintang berbanding parlimen

Ahli Parlimen Kulai, Teo Nie Ching mengecam tindakan kerajaan kerana memilih untuk membuat taklimat mengenai isu tuntutan waris Kesultanan Sulu di sebuah lokasi tertutup berbanding di Dewan Rakyat.

Memetik laporan portal FMT, Teo mendakwa beliau dan ahli Dewan Rakyat mendapat satu surat jemputan berstatus sulit untuk satu sesi taklimat tertutup berhubung isu terbabit di Hotel Seri Pacific, malam ini.

“Kalau kita boleh sewa ‘ballroom’ sebuah hotel lima bintang yang akan dihadiri tiga orang menteri untuk memberi taklimat pada Ahli Parlimen, kenapa Ahli Parlimen tidak boleh membahas tentang isu ini di Dewan Rakyat?

“Buat apa kita bazir duit pergi sewa ‘ballroom’ di sebuah hotel lima bintang dan kita tidak guna fasiliti yang sedia ada di Dewan Rakyat,” katanya dalam sidang media di Parlimen.

Katanya, taklimat itu akan dihadiri tiga menteri iaitu Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Wan Junaidi Tuanku Jaafar, Menteri Luar, Saifuddin Abdullah dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Mustapa Mohamed.

Isnin lalu, Ahli Parlimen Warisan Isnaraissah Munirah Majilis digantung dua hari daripada menghadiri persidangan Parlimen selepas diarah keluar Dewan Rakyat oleh Timbalan Speaker, Rashid Hasnon.

Perintah itu dikeluarkan Rashid selepas Isnaraissah meminta Speaker Dewan Rakyat, Azhar Harun menjelaskan tindakan menolak usul dikemukakannya berhubung dua anak syarikat Petronas di Azerbaijan yang dilapor dirampas waris kesultanan Sulu.

Isnaraissah berkata, sudah tiga kali usulnya mengenai anak syarikat Petronas itu ditolak.

Semalam, Azhar sekali lagi menolak usul isu itu dibahaskan Ahli Parlimen.

Azhar berkata, membahaskan usul itu boleh mendedahkan strategi pasukan perundangan kerajaan kepada pihak musuh.

Dalam pada itu, Teo berkata Dewan Rakyat merupakan tempat terbaik untuk mendengar penjelasan daripada menteri-menteri dari pihak kerajaan.

Beliau juga menyatakan ketidakpuasan hati selepas mendapat surat jemputan itu yang disifatkan sebagai rahsia.

“Saya rasa tidak puas hati bagaimana sebuah jemputan dijadikan rahsia kerana ini isu besar bukan sahaja dengan orang Sabah tetapi semua orang,” katanya.