Kerajaan PN didakwa mengabaikan industri pelancongan, kata Raja Kamarul

Kerajaan PN didakwa mengabaikan industri pelancongan, kata Raja Kamarul

Pakej stimulus ekonomi Permai bernilai RM15 bilion yang diumumkan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin semalam, mengecewakan semua pengusaha pelancongan negara.

Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Terengganu, Datuk Raja Kamarul Bahrin Shah Raja Ahmad mendakwa, tindakan kerajaan mengabaikan industri pelancongan merupakan satu kesilapan besar dan tidak berpandangan jauh.

Menurutnya, pengusaha berkaitan pelancongan termasuk peniaga restoran, pembuat kraf tangan dan industri sokongan pelancongan bimbang masa depan mereka dalam bidang itu kerana tidak nampak penyelesaiannya.

“Adakah kerajaan sedar, sektor pelancongan memberi peluang pekerjaan yang amat luas kepada pelbagai sektor ekonomi dan lapisan masyarakat, daripada pengusaha hotel kepada pembuat kuih dan kraf tangan di kampung, hingga kepada pekerja biasa penggiat pelancongan.

“Kesan ‘multiplier effect’ atau kesan ganda pelancongan kepada ekonomi amat tinggi dan boleh merangsangkan ekonomi negara dengan begitu luas dan berkesan.

“Lupakah kerajaan sektor pelancongan merupakan penyumbang pendapatan negara kedua tertinggi selepas industri minyak dan gas,” katanya dalam satu kenyataan, Selasa.

Beliau yang juga bekas Pengerusi Persatuan Pelancongan Terengganu berkata, tanpa visi dan pandangan jangka masa panjang, kerajaan akan menjadikan sektor pelancongan negara terus merudum dan tertinggal walaupun selepas wabak Covid-19 sudah lama tiada nanti.

Katanya, walaupun sektor pelancongan antarabangsa lambat pulih, amat penting untuk sektor pelancongan domestik dipulihkan segera.

“Tindakan lemah kerajaan itu akan memusnahkan infrastruktur serta aset pelancongan tempatan yang dibina dengan baik selama ini,” katanya. – SH

COMMENTS