Kerajaan rugi RM33 bilion demi dapatkan RM3 bilion, dedah pakar ekonomi

Kerajaan rugi RM33 bilion demi dapatkan RM3 bilion, dedah pakar ekonomi

Pakar ekonomi, Muhammed Abdul Khalid membuat satu pendedahan mengejutkan mengenai Bajet 2022 kerajaan Keluarga Malaysia yang dibentang Menteri Kewangan di Dewan Rakyat pada 29 Oktober lalu.

Pendedahan itu dibuatnya di dalam program Bajet 2022: Mampukah Rawat Ekonomi Melayu anjuran Dewan Perniagaan Melayu Malaysia yang berlangsung secara maya baru-baru ini.

Menurutnya, berlaku kepincangan dalam peruntukan bagi dua segmen utama melibatkan komuniti bumiputera dan bukan bumiputera.

Peruntukan untuk komuniti bumiputera merangkumi RM11.4 bilion manakala komuniti Cina dan India hanya menerima RM345 juta secara bersama sekaligus dilihat mewujudkan jurang besar dari segi peruntukan untuk golongan Bumiputera dan komuniti bukan Bumiputera.

“Itu hanya sekitar 3 peratus daripada apa yang diterima oleh komuniti Bumiputera. Apa yang penting pada saya, selaku seorang Muslim, adalah konsep keadilan. Di mana keadilan?

“Betul terdapat ramai komuniti Cina yang kaya namun ramai juga yang miskin. Adakah kita berlaku adil?,” soalnya seperti dilaporkan portal akhbar Astro Awani.

Beliau turut berkata, dengan peruntukan Bajet 2022 untuk komuniti Bumiputera, jumlah keseluruhan peruntukan untuk tiga tahun bagi komuniti itu mencecah RM30 bilion.

“Apa kesannya? Kita tidak tahu. Bumiputera mana yang dibantu?,” katanya.

Khalid turut mempersoal pengenalan Cukai Makmur, yang merupakan cukai korporat dikenakan sekali saja ke atas syarikat yang memperoleh keuntungan di atas RM100 juta pada kadar 33 peratus dan 24 peratus.

“Kita tidak pernah mendengar (Cukai Makmur). Secara tiba-tiba, ia dinaikkan kepada 33 peratus, demi memperoleh pendapatan cukai RM3 bilion, kita lihat pasaran modal jatuh sebanyak RM33 bilion,” katanya.

Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz semasa membentangkan Bajet 2022 berkata kerajaan bercadang memperkenalkan cukai khas secara sekali sahaja, iaitu Cukai Makmur, kepada syarikat yang menjana pendapatan tinggi bagi memastikan sistem kesihatan awam lebih berdaya tahan dalam menghadapi sebarang ancaman pada masa hadapan.

Dalam pembentangannya, Tengku Zafrul turut berkata, Cukai Makmur dikenakan syarikat dengan pendapatan bercukai sehingga RM100 juta pertama akan dikenakan cukai pendapatan pada kadar 24 peratus dan pendapatan bercukai selebihnya akan dikenakan cukai pendapatan pada kadar 33 peratus bagi tahun taksiran 2022,” katanya.

Beliau turut berkata, pada tahun depan, ekonomi negara diunjurkan terus berkembang pada 5.5 hingga 6.5 peratus berpaksikan asas ekonomi yang masih kukuh dan struktur yang pelbagai.

Bajet 2022 bertemakan ‘Keluarga Malaysia, Makmur Sejahtera’ mendukung tiga tunjang utama iaitu memperkukuh pemulihan, membina daya tahan dan memacu pembaharuan.