Kerajaan taknak bantu kewangan zoo, pekerja jadi mangsa
Zoo Negara mengakui menamatkan elaun khas kepada semua kakitangannya bermula November ini.
Timbalan presidennya, Rosly Ahmat Lana berkata, langkah itu terpaksa diambil dengan kerana prestasi semasa kewangan yang terjejas ketika zoo ditutup susulan pelaksanaan pelaksanaan perintah kawalan pergerakan bersyarat (PKPB) akibat penularan Covid-19.
“Namun faedah sedia ada seperti elaun makan harian, elaun dobi, elaun perjalanan pergi balik dari rumah ke zoo, insurans kesihatan, pemberian uniform, caruman KWSP (13% sehingga 17%) dan Perkeso kekal seperti biasa,” katanya kepada FMT.
Mengulas dakwaan gaji yang rendah dan kenaikan tidak memadai dengan pendapatan kasar pekerja tidak sampai RM2,000 sebulan walaupuan telah bekerja selama belasan tahun, Rosly berkata, kenaikan gaji akan dibuat berdasarkan kemampuan kewangan zoo.
“Kenaikan gaji adalah berdasarkan pencapaian kewangan tahunan zoo serta pelan kerjaya dan penilaian pencapaian tahunan seseorang pekerja.
“Setiap pekerja tetap di Zoo Negara memperoleh pergerakan tangga gaji 5% hingga 6% setiap tahun,” katanya.
Beliau turut mengesahkan terdapat pihak yang menaja zoo berkenaan, namun wang tersebut digunakan untuk makanan haiwan, vitamin, ubat-ubatan serta menampung kos operasi lain yang berkaitan.
Berdasarkan maklumat daripada pekerja, elaun dobi adalah sebanyak RM70 sebulan, elaun makanan diberi melalui kupon RM5 sehari selama 24 hari mengikut kehadiran kerja dan elaun perjalanan RM70 sebulan kepada kakitangan terpilih.
Sementara itu elaun khas yang ditamatkan adalah antara RM200 hingga RM300 sebulan.
Terdahulu FMT melaporkan pekerja Zoo Negara tertekan kerana elaun khas mereka dipotong oleh majikan.
Pemotongan elaun khas tersebut lebih menyukarkan kerana gaji asas yang sedia rendah, iaitu RM1,200, dengan pendapatan kasar kurang RM2,000 sebulan.
“Malah majoriti pekerja menerima gaji kasar di bawah RM2,000 walaupun telah bekerja selama belasan atau puluhan tahun. Kini dengan elaun dipotong, pendapatan kami semakin kurang.
“Kami terjejas dengan potongan itu. Kami ada tanggungan, anak isteri nak kena bagi makan. Walaupun potong RM200 atau RM300, ia jumlah besar bagi kami yang bergaji kecil ini,” kata mereka kepada FMT.
Sebelum ini Zoo Negara berkata, tabung kecemasan zoo berkenaan hanya mampu bertahan kira-kira 3 bulan lagi.
Pengarah Zoologi, Veterinar dan Pusat Konservasi Giant Panda Zoo Negara Dr Mat Naim Ramli berkata, penutupan operasi susulan PKPB menyebabkan pihaknya mengalami kemerosotan pendapatan, sekali gus menyukarkan usaha menampung kos operasi yang secara purata mencecah RM1 juta sebulan.
Sumber: Free Malaysia Today