Kerajaan tingkat pemantauan di pintu masuk utama negara berikutan ancaman wabak misteri di China

Kerajaan tingkat pemantauan di pintu masuk utama negara berikutan ancaman wabak misteri di China

 

Malaysia bersiap sedia dan meningkatkan pemantauan di pintu masuk utama negara bagi menerima kemasukan pelancong China meskipun timbul dakwaan mengenai kemunculan wabak misteri berkaitan penyakit pernafasan dan radang paru-paru di negara terbabit.

Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Datuk Seri Tiong King Sing berkata, Kementerian Kesihatan (KKM) sentiasa mengawal ketat kemasukan pelancong asing termasuk dari China di semua pintu masuk utama negara bagi mengelak perkara tidak diingini seperti penularan penyakit.

Katanya, semua pintu masuk utama negara dilengkapi kelengkapan seperti kamera pengawasan dan mesin pengimbas suhu seperti yang dilaksanakan untuk saringan Covid-19.

“Itu memang KKM sudah buat pemantauan dan kawalan dan kita juga menyediakan semua seperti kamera dan kelengkapan yang sepatutnya.

“China pun sama mereka sudah menaik taraf semua kelengkapan diperlukan bagi mengawal sebarang situasi,” katanya memetik Harian Metro.

Beliau berkata demikian mengulas dakwaan kewujudan wabak misteri baharu yang dikaitkan dengan sindrom White Lung sedang menular di China.

Mengulas lanjut, Tiong berkata, beliau meminta semua pihak tidak membuat spekulasi dan memutar belitkan isu berkenaan sehingga mencetuskan kebimbangan ramai.

Kebelakangan ini, laporan media antarabangsa mendakwa, China melaksanakan semula pemakaian pelitup muka dan penjarakan fizikal selepas lonjakan kes berkaitan wabak misteri itu.

Wabak itu yang didakwa mengancam kanak-kanak, dikesan menular di China sejak pertengahan Oktober lalu hingga menimbulkan kebimbangan di seluruh dunia selain Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) juga memandang serius dakwaan itu.