Kerajaan umum batal arahan pakai pelitup muka dlm bangunan

Kerajaan umum batal arahan pakai pelitup muka dlm bangunan

Peraturan pemakaian pelitup muka tidak lagi diwajibkan di kebanyakan kawasan tertutup, berkuatkuasa serta merta, kata Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin

Bagaimanapun, beliau berkata, pemilik premis masih mempunyai hak untuk memutuskan sama ada pelanggan mereka perlu memakai pelitup muka.

Namun, pemakaian pelitup muka masih diwajibkan di hospital, pengangkutan awam dan rumah penjagaan.

Individu berisiko tinggi seperti warga emas, mereka yang mempunyai penyakit kronik dan wanita mengandung sangat digalakkan untuk terus memakai pelitup muka ketika berada dalam kawasan tertutup.

Khairy berkata, keadaan itu juta terpakai bagi mereka yang menjalankan aktiviti membabitkan individu berisiko tinggi.

“Kementerian Kesihatan sangat menggalakkan pemakaian pelitup muka dalam kawasan sesak seperti pasar malam, stadium dan pusat beli belah,” katanya, seperti dilapor portal FMT.

Katanya, pihak kementerian akan terus memantau situasi Covid-19 dalam dan luar negara, selain memastikan perkhidmatan kesihatan berada pada tahap optimum.

Kerajaan mula mewajibkan pemakaian pelitup muka di kawasan terbuka mahu pun tertutup, pada 1 Ogos 2020, ketika pandemik Covid-19 teruk melanda.

Bagaimanapun, arahan itu mula dilonggarkan pada 1 Mei, dengan orang awam tidak lagi diperlukan mengenakan pelitup muka ketika berada di kawasan terbuka.