Kerana berebut parkir kereta, guru belasah isteri jiran

Kerana berebut parkir kereta, guru belasah isteri jiran

 

27 Januari, seorang guru lelaki dihadapkan ke Mahkamah Majistret Ayer Keroh, Melaka atas dua pertuduhan mencederakan isteri jirannya serta bergaduh dengan suami wanita itu berkaitan tempat letak kenderaan pada Disember tahun lalu.

Bagaimanapun guru terbabit, Muhammad Fuad Jahaya, 47, tidak mengaku bersalah terhadap pertuduhan sejurus dibacakan jurubahasa mahkamah dalam prosiding berasingan di hadapan Majistret, Mazana Sinin.

Guru sengaja datangkan kecederaan terhadap isteri jirannya

Berdasarkan kertas pertuduhan, Fuad didakwa dengan sengaja menyebabkan kecederaan terhadap Aziah Omar, 57, dengan memukul kepala dan lengan menggunakan tangan di Jalan Bertam Setia 12, Taman Bertam Setia, kira-kira jam 1.00 tengah hari pada 9 Disember 2022.

Guru terbabit didakwa mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang memperuntukan hukuman penjara setahun atau denda maksimum RM2,000 atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

Dalam masa sama, tertuduh bersama suami mangsa, Rosli Baba, 60, yang merupakan seorang pesara guru turut didakwa atas pertuduhan mengikut Seksyen 160 Kanun Keseksaan iaitu melakukan gaduh gempar dengan memukul antara satu sama lain.

Kedua-dua mereka tidak diwakili peguam dan tidak mengaku bersalah

Guru tersebut dan jiranya yang tidak diwakili peguam kemudiannya tidak mengaku bersalah terhadap pertuduhan itu yang membawa hukuman penjara maksimum enam bulan atau denda sehingga RM1,000 atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan yang dikendalikan Pegawai Pendakwa, Inspektor Mohammad Naim Abd. Jalil mencadangkan guru terbabit diikat jamin RM6,000 bagi pertuduhan Seksyen 323 dan RM5,000 setiap seorang bagi pertuduhan Seksyen 160.

Kedua-dua mereka diikat jamin RM1,500 dan RM500 dengan seorang penjamin

Majistret Mazana kemudiannya menetapkan Fuad dilepaskan dengan jaminan RM1,500 bagi kedua-dua pertuduhan, manakal Rosli yang juga pesara guru sebanyak RM500 dengan seorang penjamin.

Kes ditetapkan untuk sebutan semula pada 13 Mac depan bagi lantikan peguam dan serahan dokumen.