Kerap mesej dan berani datang ke pejabat, Ustaz trauma diganggu wanita psiko sejak dua tahun lalu

Kerap mesej dan berani datang ke pejabat, Ustaz trauma diganggu wanita psiko sejak dua tahun lalu

 

Seorang pendakwah bebas yang juga merupakan seorang penulis mendedahkan bahawa dia hidup dalam ketakukan hampir setiap hari gara-gara diganggu oleh seorang wanita psiko menerusi mesej di aplikasi media sosial serta di tempat kerjanya sejak dua tahun lalu.

Diganggu wanita psiko

Menerusi ciapan yang dimuat naik oleh Fakhri Fadzli di Twitter, mendedahkan wanita berkenaan turut menghantar pelbagai hadiah dan sanggup menunggu berjam-jam di tempat kerjanya.

Graduan dari Universiti Jordan ini juga mengatakan bahawa dia diganggu sejak April 2021 apabila wanita berkenaan meminta untuk berkenalan di Instagram.

Dari awal saya tolak dengan cara baik. Saya tak berminat tapi dia langsung tak berhenti.

Pada Disember 2021, saya baru mula kerja tak sampai seminggu. Dia hantar hadiah-hadiah dari Arab Saudi, tempat dia tinggal dan bekerja. Hantar hadiah ke alamat pejabat pula tu. Saya rasa terganggu, sampai ke tempat kerja pun dia berani.

Lebih menakutkan apabila wanita terbabit berjaya mendapatkan nombor telefon dan mengganggunya menerusi aplikasi WhatsApp.

Sedangkan nombor telefon saya itu baru dan tidak ramai orang tahu melainkan kawan dan keluarga. Ini WhatsApp dia, sangatlah delusional. Nak lindungi saya daripada apa? Dia siap bagi alamat rumah dan nombor telefon ayah dia, suruh saya jumpa. Seolah-olah macam saya dah bersetuju untuk berkahwin dengan dia. Delusional teruk.

Saya WhatsApp ayah dia dan ceritakan satu persatu apa yang dia buat. Ayah dia memahami dan minta maaf bagi pihak anaknya. Gangguan akhirnya berhenti sekejap, ingatkan akan berhenti selama-lamanya.

Berani datang ke tempat kerja

Fakhir yang mesra disapa dengan panggilan ustaz dalam kalangan rakan dan pengikut di media sosial menceritakan pada Mei tahun lalu ketika majlis rumah terbuka hari raya di tempat kerjanya, wanita itu dengan berani datang ke pejabatnya.

Dia ikut saya ke mana-mana sebab nak bercakap. Dalam enam jam dia sanggup duduk dan tunggu. Sampai saya terpaksa bersembunyi dalam tandas, gila weh psiko.

Kemudian pada 2 Oktober tahun lalu, saya adakan kelas ayat Kursi dan saya rasa tak sedap hati. Jadi saya minta penganjur periksa nama dia. Rupanya dia berdaftar untuk kelas fizikal. Saya minta mereka batalkan tapi dia tetap datang walaupun tak diundang.

Disebabkan wanita itu masih berdegil dan ingin menyertai kelas berkenaan, Fakhri terpaksa mengawal perasaan dan bercakap seperti tiada perkara yang berlaku selama tiga jam kerana individu itu berada di hadapannya.

Sampaikan bila habis kelas pun saya terpaksa balik terus, tak sempat berbual dan bersoal jawab dengan peserta. Namun dua hari kemudian, wanita itu datang ke pejabat untuk berjumpa saya.

Kali ini lebih agresif sampaikan hempas pintu depan orang ramai. Selepas itu, duduk di kawasan kakitangan untuk tunggu saya di situ. Sangatlah psiko ya perempuan ni.

Jadi sekali lagi saya terpaksa memaklumkan kepada ayahnya dan dia sangat marah apabila ayah dia datang untuk membawa dia balik. Ayah dia berulang-ulang kali minta maaf kepada saya. Saya cakap terus yang saya tak marah pun ayah dia. Ini ujian dia sebagai ayah tapi saya minta supaya kawal.

Terpaksa buat laporan polis

Susulan daripada kejadian berkenaan, Fakhri membuat laporan polis di Balai Polis Bandar Baru Bangi untuk melindungi diri serta orang di sekelilingnya kerana wanita berkenaan telah mengganggu secara fizikal dan trauma apabila hendak ke mana-mana.

Di media sosial pun sebab saya tahu dia akan sentiasa ‘stalk’. Sampailah semalam, saya ingatkan saya dah bileh hidup dengan aman. Rupanya dia masih lagi ganggu saya. Berpuluh-puluh mesej peribadi dan kali ini memang dah sangat melampau. Siap ugut untuk kacau keluarga saya pula.

Tengoklah delusional dia ini. Dia ingat ada orang yang pengaruhi saya. Saya bingung, sejak dua tahun tidak berhenti ganggu macam ini. Saya akan berkahwin nanti dan saya risaukan diri saya dan bakal isteri kalau gangguan ini tak berhenti.