Kerat tubuh ibu 15 bahagian, tertuduh didakwa berlatih sembelih kucing sebelum kejadian

Kerat tubuh ibu 15 bahagian, tertuduh didakwa berlatih sembelih kucing sebelum kejadian

“Sepanjang tempoh seminggu ini, kami langsung tidak dengar apa-apa bunyi, sama ada ketukan atau jeritan sehinggalah ketibaan polis, semalam,” kata jiran kepada wanita warga emas yang dibunuh anaknya di Taman Kerian, di sini, sebelum mayatnya yang dikerat 15 ditemukan semalam.

Dia yang enggan namanya disiarkan berkata, kebiasaannya dia sering terdengar mangsa menyanyi atau menjerit namun suasana itu bertukar sunyi dan kelibat wanita itu tidak kelihatan sejak beberapa hari lalu.

“Biasanya kami dengar suara ‘auntie’ menyanyi dan kadangkala menjerit, namun sejak beberapa hari lalu, kelibatnya tidak kelihatan.

“Sepanjang tempoh itu juga kami tidak mendengar bunyi pelik seperti ketukan atau memotong sesuatu. Sehinggalah petang semalam apabila kelihatan sepasukan anggota polis mengerumuni kediaman mangsa dan barulah kami tahu dia dibunuh,” katanya ditemui Harian Metro.

Menurutnya, anak mangsa sering mengutip dan mengumpul barangan terpakai di perkarangan rumah.

“Dia jenis yang pendiam, serius dan tidak bercampur dengan orang.

“Terkesan dengan kejadian itu, jiran tidak senang duduk dan trauma apabila mengetahui dia tergamak bertindak sedemikian pada ibunya.

“Beberapa tahun dulu, saya terkejut apabila menyaksikan dia membunuh seekor kucing yang masuk ke perkarangan rumah menggunakan sebilah pisau,” katanya.

Tinjauan di lokasi kejadian mendapati keseluruhan rumah suspek dikelilingi pita polis manakala bahagian pintu belakang yang menempatkan tangki kumbahan ditutup.

Selain itu perkarangan rumah suspek juga kelihatan tidak terurus dengan longgokan pelbagai barangan lusuh.