Kerinduan terubat, Raisuddin nampak muka & tangan adik Miza sama dengan arwah Siti Sarah

Kerinduan terubat, Raisuddin nampak muka & tangan adik Miza sama dengan arwah Siti Sarah

 

Sebelum ini, tular sepotong video yang memaparkan wajah seorang kanak-kanak perempuan yang memiliki wajah persis penyanyi popular, Allahyarham Siti Sarah.

Kembar Siti Sarah

Terbaharu, bapa kepada arwah iaitu Raisuddin berkesempatan berjumpa dengan kanak-kanak tersebut yang dikenali sebagai adik Miza.

Menerusi perkongsian yang dimuat naik isteri Raisuddin yang dikenali sebagai Makder di laman Instagram, dia berkata mereka mengambil masa selama tujuh jam perjalanan menuju ke destinasi.

Rezeki dapat berjumpa dengan adik Miza. Tujuh jam perjalanan sebab suami nak sangat jumpa.

Turut kelihatan bersama ialah anak sulung kepada arwah iaitu Uwais Alqarni.

Menerusi video tersebut, terpancar kegembiraan pada wajah Uwais meskipun kelihatan sedikit segan ketika bertemu adik Miza.

Dalam pada itu, Raisuddin berkata, kanak-kanak berkenaan turut memiliki bentuk gigi dan tangan yang sama dengan arwah anaknya.

Sementara itu, suami kepada arwah iaitu pelawak popular Shuib sempat meninggalkan komen dengan mengatakan wajah adik Miza persis Siti Sarah sewaktu kecil.

Masya-Allah, comelnya lahai. Macam Siti Sarah masa kecil. Sampaikan salam saya pada adik Miza.

Menjengah ke ruangan balas, rata-rata wargamaya turut berkongsi rasa teruja mereka serta tidak menafikan wajah adik Miza saling tidak tumpah dengan arwah.

Untuk rekod, Allahyarham Siti Sarah mendirikan rumah tangga dengan pelawak popular Shuib pada 2011. Hasil perkongsian hidup, mereka dikurniakan empat cahaya mata iaitu Uwais Alqarni, 11, Dzahira Talita Zahra, 9, Ariq Matin, 6, dan Ayash Affan, 2.

Namun, Allahyarham Siti Sarah meninggal dunia pada 9 Ogos 2021 akibat jangkitan Covid-19.

Shuib kemudian berkahwin dengan usahawan Watie Hanifiah pada 23 Jun lalu dalam sebuah majlis yang diraikan di Putra Glass House, Putra Height.