Kerja mengemis tapi mampu pakai Proton X70, KPWKM tarik balik elaun OKU pemuda RM450 sebulan

Kerja mengemis tapi mampu pakai Proton X70, KPWKM tarik balik elaun OKU pemuda RM450 sebulan

 

Tular sebelum ini mengenai seorang pemuda berstatus Orang Kurang Upaya (OKU) yang menjadi pengemis tapi mampu Proton X70 Premium.

Malah pemuda tersebut turut menerima bantuan elaun sebanyak RM450 sebulan daripada kerajaan.

Susulan kes tular itu, Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) telah memberhentikan bantuan elaun penerima tersebut.

Menurut Bernama, Timbalan Menterinya Datuk Seri Dr Noraini Ahmad berkata elaun sebanyak RM450 akan dihentikan bermula bulan ini.

Pihaknya juga memberikan amaran dan meminta lelaki itu melengkapkan surat aku janji sebagai jaminan untuk tidak mengemis lagi.

“Siasatan lanjut juga mendapati dia kini bekerja di sebuah syarikat bas sebagai penyelia syif dengan anggaran pendapatan RM2,000 sebulan.

“Disebabkan itulah individu ini tidak boleh lagi menerima bantuan kebajikan daripada JKM (Jabatan kebajikan Masyarakat),” katanya pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat.

Beliau menjawab soalan tambahan Mohd Sany Hamzan (PH-Hulu Langat) yang ingin tahu tindakan KPWKM dan JKM terhadap seorang OKU yang tular kerana memiliki kereta mewah walaupun hanya dengan mengemis.

Sementara itu mengulas langkah jangka panjang KPWKM bagi menangani isu orang papa dan gelandangan, Noraini berkata kementerian itu sedang melaksanakan Kajian Semakan Semula Akta Orang-Orang Papa 1977 dalam usaha menambah baik pengendalian isu berkenaan.

“KPWKM menyasarkan dapatan kajian ini akan diguna pakai sebagai asas pertimbangan dalam merasionalkan ketetapan berkaitan mekanisme penyelesaian isu pengemisan, gelandangan, aspek pemulihan dan penguatkuasaan,” katanya.

Untuk langkah jangka pendek, KPKWM akan melaksanakan Op Menyelamat Orang-orang Papa secara serta-merta.

Ia akan dilakukan secara berjadual atau berkala di kawasan ‘hotspot’ seperti di pusat bandar raya Kuala Lumpur dengan menjalankan operasi bersepadu selaras pelbagai akta berkaitan.

Menurutnya akta tersebut merangkumi Akta Pungutan Rumah Ke Rumah dan Di Jalan 1947, Seksyen 420 Kanun Keseksaan, Seksyen 27 (c) Akta Kesalahan Kecil 1955 (Peminta-peminta sedekah) serta undang-undang di bawah Pihak Berkuasa Negeri dan Tempatan iaitu Akta Kerajaan Tempatan 1976 dan Undang-Undang Kecil.

“Penyelesaian kepada isu ini bukan terletak pada bahu KPWKM semata-mata, sebaliknya kerjasama dan sokongan semua pihak amat dialu-alukan termasuk kerajaan negeri, pihak berkuasa tempatan dan orang awam,” katanya.