Kes kematian Tangmo Nida, pemilik & pemandu bot mengaku bersalah

Kes kematian Tangmo Nida, pemilik & pemandu bot mengaku bersalah

Kes kematian pelakon terkenal Thailand, Tangmo atau nama sebenarnya, Patarida Patcharaveerapong merupakan antara kes kematian yang paling menyayat hati pernah berlaku pada tahun lalu.

Apa yang menyayat hati ialah dikatakan kes kematiannya itu adalah disebabkan oleh sifat tamak dan dendam orang terdekatnya sendiri.

Pemilik dan pemandu bot mengaku bersalah

Terbaru, Bangkok Post melaporkan bahawa dua defendan bagi kes kematian pelakon yang popular dengan filem Ghost of Mae Nak itu bakal dijatuhi hukuman penjara.

Pemilik bot laju, Tanupat “Por” Lerttaweewit mengaku bersalah atas tuduhan cuai hingga menyebabkan kematian manakala pemandu bot, Phaiboon “Robert” Trikanjananun mengaku bersalah kerana mengendalikan bot tanpa lesen.

Walau bagaimanapun, Mahkamah Wilayah Nonthaburi menggantung hukuman penjara tersebut dan memerintahkan mereka berdua untuk jalani khidmat komuniti.

Tanupat yang pada awalnya dihukum penjara lima tahun lapan bulan dan denda 128,000 baht dikurangkan kepada dua tahun sembilan bulan, hukuman digantung tiga tahun, dan denda dikurangkan kepada 64,000 baht.

Manakala Phaiboon yang dikenakan hukuman penjara empat tahun empat bulan dan denda 108,000 baht kemudiannya dikurangkan kepada dua tahun dua bulan, dengan hukuman digantung tiga tahun, dan denda dikurangkan kepada 54,000 baht.

Untuk info, pada 24 Februari tahun lalu, Tangmo, 37, disahkan terjatuh ke dalam Sungai Chao Phraya ketika menaiki bot laju berhampiran jeti Pibul 1 di daerah Muang, Nonthaburi bersama-sama rakannya sebelum mayatnya dijumpai kira-kira dua hari kemudian.

Selain Tanupat dan Phaiboon, empat lagi tertuduh ialah Wisapat “Sand” Manomairat, Nitas “Job” Kiratisoonthisathorn, pengurus Tangmo Idsarin “Gatick” Juthasuksawat, dan Peam “Em” Thamtheerasri.

Kes kematian pelakon popular Thailand itu ternyata mengejutkan industri hiburan di sana bahkan turut mendapat perhatian warganet di Malaysia.