Kes kematian Zayn Rayyan, polis dedah ‘plot twist’ terbaharu dalam sidang media

Kes kematian Zayn Rayyan, polis dedah ‘plot twist’ terbaharu dalam sidang media

Polis akan merakam semula keterangan ibu bapa Zayn Rayyan Abdul Matiin, selepas bedah siasat hari ini menunjukkan kanak-kanak autisme berusia enam tahun itu mati akibat dibunuh.

Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan, berkata kes kematian kanak-kanak itu diklasifikasikan semula sebagai bunuh selepas bedah siasat menemui kesan kecederaan pada leher dan badan mangsa.

“Ya kita akan rakam semula keterangan ibu dan bapa mangsa (untuk bantu siasatan polis).

“Selain itu, kita turut wujudkan ‘task force’ (pasukan khas) fokus untuk membantu dalam siasatan kes ini,” katanya.

Terdahulu, BH melaporkan polis menyiasat kematian Zayn Rayyan sebagai kes bunuh mengikut Seksyen 302 kanun Keseksaan susulan laporan bedah siasat hari ini.

Mayat kanak-kanak itu ditemukan di aliran anak sungai berhampiran kawasan kediamannya kira-kira jam 10 malam tadi oleh kumpulan penduduk yang menjalankan operasi mencari bersama pihak polis.

Kanak-kanak itu dilaporkan hilang sejak tengah hari kelmarin dan kali terakhir ditemui adalah ketika memasuki kawasan belukar berhampiran Apartmen Idaman.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Fakhrudin Abd Hamid, berkata pasukan penyiasat akan mengunjungi semula lokasi mayat Zayn Rayyan ditemui bagi mengumpul bukti dan petunjuk baharu.

Katanya, pihak polis juga akan memanggil semua saksi terdekat dengan kes ini termasuk ibu bapa, jiran dan orang awam yang menjumpai mangsa, malam tadi.

“Polis sedang giat menjalankan usaha mengesan suspek sejak mayat mangsa ditemui.

“Kita juga akan ke lokasi mangsa ditemukan bagi mengesan sekiranya terdapat sebarang petunjuk baharu,” katanya ketika ditemui pemberita di Tanah Perkuburan Islam Seksyen 9, Kota Damansara, di sini, hari ini.

Jenazah Zayn Rayyan selesai dibedah siasat petang tadi sebelum dibawa ke Masjid Damansara Damai di sini untuk disembahyangkan.

Jenazahnya dibawa keluar dari Jabatan Forensik Hospital Sungai Buloh (HSB) jam 5.55 petang, selepas proses bedah siasat selesai.

Selepas selesai solat jenazah di Masjid Damansara Damai, jenazahnya kemudian dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Seksyen 9, Kota Damansara dekat sini, kira-kira jam 7 malam tadi.