Kes rasuah babitkan projek Jana Wibawa: Adam Radlan bakal jadi ‘kambing hitam’ demi bersihkan imej Wan Saiful, Bersatu

Kes rasuah babitkan projek Jana Wibawa: Adam Radlan bakal jadi ‘kambing hitam’ demi bersihkan imej Wan Saiful, Bersatu

Timbalan Ketua Bahagian Bersatu Segambut, Adam Radlan Adam Muhammad mengaku tidak bersalah atas pertuduhan meminta dan menerima suapan membabitkan projek di bawah program Jana Wibawa.

Memetik Harian Metro, Adam Radlan, 42, yang juga seorang ahli perniagaan membuat pengakuan itu di hadapan Hakim Suzana Hussain di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur , di sini hari ini.

Mengikut pertuduhan pertama, tertuduh didakwa meminta suapan 3.5 hingga tujuh peratus daripada projek bernilai RM46.8 juta pembinaan Jalan Sungai Adam ke Kampung Banat, Perlis sebagai dorongan mendapatkan Surat Setuju Terima (SST) secara rundingan terus.

Tertuduh didakwa meminta suapan daripada Pengarah Urusan MIE Infrastructure & Energy Sdn Bhd, Mat Jusoh Mamat di sebuah restoran di sekitar Dutamas, dekat sini, pada 21 Mac 2021.

Dalam pertuduhan kedua, Adam Radlan dituduh menerima suapan daripada Mat Jusoh berjumlah RM500,000 ke dalam akaun CIMB Bank Cawangan Taman Tunku, Bukit Tunku, di sini pada 26 November 2021.

Kedua-dua pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 16 (a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009

yang boleh dihukum di bawah seksyen 24(1) akta sama.

Tertuduh mengaku tidak bersalah di atas kedua-dua pertuduhan dan diminta untuk dibicarakan.

Timbalan Pendakwa Raya Farah Yasmin Salleh menawarkan ikat jamin RM300,000 bagi kedua-dua pertuduhan dan tertuduh diminta menyerahkan pasport serta melapor diri ke pejabat SPRM sebulan sekali sehingga kes selesai.

Peguam, Datuk Seri Rajan Navaratnam memohon jumlah itu dikurangkan kepada RM100,000 dengan alasan anak guamnya memberi kerjasama sepanjang siasatan dijalankan dan tidak pernah dituduh dalam kes jenayah.

“Anak guam saya adalah seorang ahli perniagaan yang mempunyai empat anak yang berusia antara sembilan dan 16 tahun.

“Semalam, anak guam saya telah dihubungi oleh SPRM dan beliau sendiri telah hadir ke pejabat SPRM untuk keterangannya diambil dan ketika itu dia dimaklumkan beliau akan dituduh di mahkamah pada hari ini, “katanya.

Selepas mendengar hujah kedua-dua pihak, Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM120,000 dengan dua penjamin dan diarahkan memenuhi syarat-syarat ditetapkan pihak pendakwaan.

Mahkamah menetapkan 23 Mac untuk sebutan semula kes itu.