Kes rasuah UKSB libatkan pemimpin kerajaan, SPRM didakwa ‘balas budi’

Kes rasuah UKSB libatkan pemimpin kerajaan, SPRM didakwa ‘balas budi’

Hakikat bahawa SPRM hanya sekarang menyiasat kejadian rasuah, seperti yang disebut oleh seorang saksi dalam perbicaraan membabitkan Presiden Umno, Ahmad Zahid Hamidi dan Ultra Kirana Sdn Bhd (UKSB), menunjukkan rombakkan besar-besaran perlu dibuat terhadap suruhanjaya itu, kata Ahli Parlimen Bagan Lim Guan Eng.

Dalam satu kenyataan hari ini yang dilaporkan Malaysiakinj, pemimpin DAP itu apa yang sangat sangat mengecewakan adalah saksi yang mendedahkan keterangan mengenai pembayaran yang dibuat kepada ahli politik tertinggi negara berkenaan adalah saksi SPRM.

“Saksi daripada UKSB telah mendedahkan di mahkamah bahawa dia telah memberikan wang kepada beberapa menteri dan termasuklah seorang bekas perdana menteri.

“Saksi ini adalah saksi pihak pendakwaan maka saksi juga adalah saksi SPRM sendiri.

“Bagaimèana SPRM boleh berlagak bahawa mereka tidak tahu tentang perkara ini dan hanya menyatakan akan membuka siasatan selepas perkara ini didedahkan di mahkamah dan setelah ditekan orang awam,” kata Lim yang juga adalah bekas menteri kewangan.

Pemimpin DAP itu berkata sekirannya presiden Umno, yang menjadi tertuduh dalam perbicaraan itu didapati bersalah melakukan rasuah, maka mereka yang lain yang disebut di mahkamah turut menerima wang daripada UKSB juga adalah bersalah.

Ahmad Zahid Hamidi berdepan 33 pertuduhan menerima rasuah berjumlah S$13.56 juta daripada UKSB supaya kerajaan melanjutkan kontrak kepada syarikat tersebut.

Kontrak itu adalah untuk mengendalikan Pusat Sehenti di China dan sistem Visa Luar Negara (sistem VLN), serta mengekalkan perjanjian untuk membekalkan peralatan sistem bersepadu VLN kepada syarikat yang sama.

Zahid adalah timbalan perdana menteri dan menteri dalam negeri ketika bayaran dibuat antara Oktober 2014 dan Mac 2018.

Minggu lalu, bekas pengurus pentadbiran UKSB, David Tan, memberitahu Mahkamah Tinggi bahawa bekas perdana menteri Muhyiddin Yassin dan bekas menteri Shafie Apdal turut menerima dana daripada syarikatnya itu.

Mahkamah juga mendengar keterangan bahawa nama menteri dan timbalan menteri lain direkodkan dalam lejar pembayaran syarikat, di bawah nama kod.

Mereka termasuk bekas menteri luar negeri Anifah Aman, timbalannya Reezal Merican, menteri pertahanan semasa Hishammuddin Hussein dan menteri kesihatan semasa Khairy Jamaluddin.

Muhyiddin dan Anifah menafikan mereka pernah menerima dana daripada UKSB.

‘SPRM digunakan sebagai alat politik’

Lim berkata ketiadaan tindakan terhadap mereka yang dinamakan itu menunjukkan terdapat amalan dua darjat dan pilih kasih oleh SPRM.

“Ini jelas menunjukkan SPRM memang dijadikan senjata politik untuk menfaat pihak berkuasa.

“Adakah SPRM tidur atau sengaja mahu menutup perkara ini?

“Bagi memulihkan keyakinan terhadap SPRM, perlu ada satu perubahan secara menyeluruh. Perlu ada rombakan secara besar-besaran dalam SPRM supaya kita dapat pulihkan keyakinan dan perbaiki kedudukan negara dalam Indeks Persepsi Rasuah oleh Transparency International,” katanya.

Pada 2021, Malaysia turun lima tangga dalam Indeks Persepsi Rasuah, ke kedudukan ke-62 daripada 180 negara dari segi keyakinan sektor awam.

Ia mencatakan 48 daripada 100 mata dalam indeks, berbanding 51 pada tahun sebelumnya.

Skor 100 bermakna sangat bersih, manakala sifar bermakna tinggi amalan rasuahnya.

Pada 2019, Malaysia menduduki tangga ke 51 daripada 180 negara.

COMMENTS