Kes rasuah – Zahid minta RM10juta dari Cina

Kes rasuah – Zahid minta RM10juta dari Cina

Ahli perniagaan Singapura, Wong Sang Woo @ Wong Shuh Chain berkata dia berasa “istimewa” apabila Ahmad Zahid Hamidi meminta sumbangan RM10 juta daripadanya.

Menurut Christ Sheldon anak Merun, pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang merakam percakapan Wong pada Feb 2019, ahli perniagaan terbabit berasa demikian memandangkan Ahmad Zahid merupakan timbalan perdana menteri Malaysia ketika sumbangan dibuat.

Bagi menunaikan janjinya kepada Ahmad Zahid, kata Sheldon, Wong – yang turut dikenali sebagai Paul – membuat pinjaman RM10 juta kerana syarikatnya sendiri tidak mempunyai wang yang cukup untuk jumlah sebegitu.

Sheldon merupakan saksi ke-98 perbicaraan pecah amanah, rasuah dan pengubahan wang haram membabitkan bekas timbalan perdana menteri itu di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini.

Menurut Sheldon, Paul bersetuju untuk memberikan sumbangan kepada Yayasan Akalbudi diasaskan Ahmad Zahid dalam satu majlis makan malam pada 2015. Ketika Ahmad Zahid masih menjadi menteri dalam negeri.

Namun, dia meminta sedikit masa untuk menyediakan wang sumbangan itu apabila Ahmad Zahid menyatakan jumlah sumbangan RM10 juta kepadanya pada penghujung majlis itu.

Dia hanya dihubungi oleh “orang Ahmad Zahid” pada 2016, bertanyakan mengenai sumbangan berkenaan.

Individu berkenaan menerangkan kerja amal Yayasan Akalbudi serta memintanya membuat bayaran RM10 juta melalui 10 keping cek – bernilai RM1 juta setiap keping – kepada Tetuan Lewis & Co.

Kata Sheldon, Paul tidak ada berhubung dengan Ahmad Zahid sejak petemuan mereka pada 2015. Hanya pada 2016, katanya, dia mengetahui Ahmad Zahid sudah pun menjadi timbalan perdana menteri Malaysia.

“Dia membuat sumbangan melalui Chia Bee Enterprise Sdn Bhd (Chia Bee) dengan alasan di Malaysia dia memberi sumbangan kepada badan amal yang diasaskan oleh timbalan perdana menteri Malaysia (ketika itu).

“Dia berasa ia satu keistimewaan apabila timbalan perdana menteri meminta sumbangan amal,” kata Sheldon ketika membacakan hasil rakaman percakapan Wong.

Ada kuasa kawal syarikat

Kata Sheldon, Paul meminjam RM10 juta itu daripada KTS Holdings Sdn Bhd (KTS) menerusi rakannya, mendiang Ngu Ngiong Hien. Atas dasar persahabatan dan kepercayaan, katanya, pinjaman itu tidak direkodkan dalam bentuk dokumen.

Ogos tahun lalu, pengarah syarikat Chia Bee, Wong Hee Sing, mengaku dia dilantik menjadi pengarah penama (nominee) syarikat itu oleh Paul, yang merupakan pemilik Chia Bee.

Kata Hee Sing, Chia Bee sebelumnya dimiliki oleh KTS sebelum Prime Lumber Holdings Limited (Prime Lumber) mengambil alih pegangan saham dalam syarikat berkenaan.

Kata Sheldon tadi, Prime Lumber mempunyai dua pemegang saham iaitu Paul dan juga seorang lagi individu warga Singapura yang hanya merupakan pemegang saham penama.

“Paul mempunyai kuasa untuk mengawal Chia Bee kerana pemegang saham lain di Prime Lumber adalah pemegang saham penama.

“Paul mempunyai kuasa penuh terhadap Prime Lumber yang dimiliki sepenuhnya oleh Chia Bee dan didaftarkan sebagai pengarah Chie Bee pada 1 Sept 2018,” kata Sheldon.

“[…] Paul adalah pemegang saham dan Prime Lumber adalah sebuah syarikat pelaburan. Prime Lumber adalah pemegang saham tunggal bagi Chia Bee.

“[…] Tujuan pinjaman daripada KTS adalah kerana dana dalam akaun Prime Lumber tidak mencukupi,” jelas Sheldon lagi.

Tidak dapat dikesan

Kata Sheldon juga, Paul mengaku sejak mengambil alih Chia Bee, dia tidak menjalankan apa-apa perniagaan, namun pengisytiharan pendapatan Chia Bee diaudit seperti biasa atas dasar bahawa syarikat tidak beroperasi selama tahun kewangan.

Berdasarkan keterangan Paul, kata Sheldon, pembayaran itu dibuat pada 21 April 2016.

Ahmad Zahid berhadapan 47 pertuduhan melibatkan dana Yayasan Akalbudi, iaitu 12 membabitkan pecah amanah jenayah, lapan pertuduhan rasuah dan 27 pertuduhan pengubahan wang haram.

Bagi pertuduhan pengubahan wang haram, dia dituduh menerima cek bernilai puluhan juta daripada pelbagai pihak menerusi Lewis & Co, dengan sebahagian besar daripada jumlah itu digunakan untuk penempatan simpanan tetap bawah nama firma berkenaan.

Cek-cek Chia Bee itu turut termasuk dalam senarai cek yang ditunaikan ke akaun pelanggan Lewis & Co sebelum digunakan untuk penempatan simpanan tetap oleh Lewis & Co, atas arahan Ahmad Zahid.

Semalam, saksi ke-96, pegawai SPRM, Mohd Amirudin Nordin, yang bertanggungjawab menyiasat kes pengubahan wang haram Ahmad Zahid, memaklumkan kepada mahkamah bahawa Paul tidak dapat dikesan untuk diminta memberikan keterangan di mahkamah.

“Saksi ini (Paul) tidak berjaya dikesan untuk dipanggil di mahkamah. Beberapa usaha telah dijalankan, seperti mengesan beliau di syarikatnya, di Sarawak.

“Saya juga telah mendapatkan rekod keluarmasuk saksi ini di Jabatan Imigresen dan mendapati beliau tidak berada di dalam negara,” kata Amirudin ketika pemeriksaan utama oleh Harris Ong Mohd Jeffery Ong semalam.  – MK