Kes rogol babit Hilman akan diserah ke TPR minggu ini
Polis berharap dapat melengkapkan siasatan mengenai tuduhan rogol terhadap dua rakan ADUN Gombak Setia, Hilman Idham dalam masa terdekat.
Ketua Polis Kuala Lumpur, Azmi Abu Kassim, berharap kes itu boleh dirujuk kepada timbalan pendakwa raya dalam minggu ini.
“Kalau bukan minggu ini, minggu depan,” kata Azmi pada sidang media.
Pada 9 Mei Azmi berkata, kes itu disiasat bawah Seksyen 376 Kanun Keseksaan kerana merogol.
Seorang daripada mereka ialah pemimpin bahagian parti komponen Perikatan Nasional (PN), manakala seorang lagi dikatakan sebagai kenalan lama Hilman.
Laporan polis itu didedahkan bekas pemimpin Umno, Lokman Adam.
Sementara itu, pada sidang media sama Azmi berkata, seorang ‘Dato Seri’ dipercayai menjadi dalang di sebalik sindiket judi haram, ditangkap dalam operasi yang menyaksikan polis merampas barangan bernilai lebih RM2 juta.
Beliau berkata, lelaki berusia 55 tahun itu menjalankan perniagaan mesin slot di beberapa premis di sekitar Kuala Lumpur sejak Januari.
Polis menyerbu rumahnya dan merampas wang tunai sebanyak RM579,001, tiga jam tangan bernilai RM238,000, tujuh jongkong emas dan satu loket bernilai RM58,250 serta tiga kenderaan bernilai RM1.215 juta.
Penahanannya susulan serbuan terdahulu di salah sebuah premis terletak di Jalan Pudu, yang menyaksikan enam warga Bangladesh dan seorang Myanmar ditangkap.
Tiga operator premis, seorang warga tempatan dan dua warga asing, juga ditahan. Lebih RM10,000 wang tunai turut dirampas daripada mereka, selain peralatan dan mesin slot.
Polis turut menjalankan beberapa operasi lain dan menahan sejumlah 18 suspek berumur antara 17 dan 71 tahun.
Kes disiasat di bawah Seksyen 4(1)(c) dan Seksyen 6(1) Akta Rumah Judi Terbuka 1953 dan Seksyen (6)(1)(c) Akta Imigresen.
Azmi berkata, kertas siasatan telah dirujukkan kepada timbalan pendakwa raya dan 13 suspek akan didakwa di bawah Seksyen 6(1) Akta Rumah Judi Terbuka.
Empat yang lain akan didakwa di bawah Akta Pencegahan Jenayah (POCA) 1959 dan dua daripada mereka juga akan didakwa di bawah Akta Pengubahan Wang (AMLA) 2001. – FMT