Kesan pandemik Covid-19, Sani Express jual bas

Kesan pandemik Covid-19, Sani Express jual bas

Akibat terkesan dengan pandemik Covid-19, penyedia perkhidmatan bas penumpang, Sani Express Sdn. Bhd. (Sani Express) mengambil pendekatan menjual bas dua tingkat sebagai pelan alternatif bagi menampung kos operasi harian.

Penolong Pengurus (Operasi dan Pemasaran) Sani Express, Khairil Hazwan Hamzah berkata, setakat ini dua buah bas dijual iaitu satu daripadanya telah dijual kepada seorang pelanggan dari Perak yang mahu menjadikannya sebagai restoran bergerak.

Menurutnya, jumlah penumpang yang menggunakan bas syarikat tersebut mencatatkan kemerosotan teruk sehingga 70 peratus susulan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) sejak bulan lalu.

“Kita hanya menerima kira-kira 300 penumpang sehari berbanding 5,000 orang sebelum ini.

“Bagaimanapun, operasi masih diteruskan dengan 10 buah bas bagi penumpang yang mahu menuju ke destinasi di negeri Pantai Timur dan Utara,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di Terminal Sani Express di Klang Sentral di sini hari ini.

Terdahulu, dua buah bas yang dijual adalah model Scania K124EB6X2 dan K420EB6X2 masing-masing pada tahun 2009 dan 2011 yang mempunyai 48 tempat duduk akan dijual.

Kedua-dua bas itu akan dijual pada harga RM60,000 dan RM120,000 itu telah diiklankan menerusi akaun rasmi Facebook syarikat tersebut.

Tambahnya, pihaknya sentiasa mengutamakan prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan kerajaan dengan hanya membenarkan mereka mendapat surat pengesahan majikan dan kebenaran Polis Diraja Malaysia (PDRM) sahaja dibenarkan menaiki bas untuk rentas daerah atau negeri.

“Sanitasi juga kerap dilakukan dengan penumpang tidak bimbang akan kebersihan di dalam bas tersebut selain melakukan saringan suhu,” ujarnya.

Sumber: Utusan