Kesan ucapan Najib di pentas sambutan ulangtahun ke-48 BN akhirnya didedahkan
Semalam BN menyambut ulang tahun penubuhannya yang ke-48. Majlis sambutan yang diadakan penuh meriah itu berlangsung di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL).
Antara ucapan tokoh yang mendapat perhatian sudah tentulah datangnya daripada Najib Razak, bekas PM ke-6 yang telah dijatuhkan bersalah oleh Hakim Mahkamah Tinggi atas keterlibatannya dalam skandal SRC.
Selepas mendapat undangan beraya di Istana Negara bersama Seri Paduka Baginda YDP Aging, pesalah yang digelar ‘memalukan negara’ oleh hakim mahkamah ini terus diberi peluang muncul di kaca-kaca tv menyebar propaganda kehebatannya memimpin negara .
Dengan nada penuh yakin, Najib mahukan pilihanraya umum ke-15 diadakan secepat yang mungkin. Seperti kebiasaannya, dia turut mengambil kesempatan melemparkan sindiran terhadap bekas menteri PH sebelum ini sehingga digelarnya menteri ‘cap ayam’.
Namun di sebalik keghairahannya mendedahkan satu persatu tindakan memalukan yang dilakukan bekaa menteri PH dahulu, rakyat di bawah semakin tertekan dengan lonjakan harga minyak masak sawit botol di pasaran ketika ini.
Sebagai bukti, wartawan Sinar Harian yang turun ke lapangan selepas diajukan dengan keluhan rakyat pada Selasa mendapati harga minyak masak botol pelbagai jenama seberat 5 kilogram (kg) dijual antara RM28.60 hingga RM43.50.
Begitupun, rata-rata harga minyak masak botol seberat 3kg dijual pada harga runcit maksimum ditetapkan kerajaan iaitu RM18.70 manakala bagi botol 2kg RM12.70 dan sekilogram RM6.70.
Kerajaan pada Ogos tahun lalu turut menetapkan harga runcit maksimum bagi minyak masak sawit tulen yang dijual dalam botol 5kg iaitu RM29.70.
Harga runcit maksimum bagi minyak masak sawit tulen yang ditetapkan kerajaan.
Seorang pekerja pembersihan dari Lembah Pantai, Kuala Lumpur, Nina Ramawati Amri, 52, berkata, harga minyak masak ketika ini sangat tidak munasabah dan membebankan terutamanya untuk kumpulan bergaji kecil seperti dirinya.
Katanya, bahan tersebut yang sebelum pandemik boleh didapati pada harga sekitar belasan ringgit kini melonjak sehingga lebih RM43.
“Tapi mahu tak mahu, kita terpaksa beli juga sebab nak makan. Semua masakan harian kita perlukan minyak,” ujarnya.
Peniaga makanan, Abdul Rani Mohd Radzi, 58, pula berkata, kenaikan harga minyak botol semakin dirasai sejak tiga bulan lepas.
Kenaikan itu ujarnya, tentu memberi tekanan kerana sebagai peniaga, harga jualan tidak boleh dinaikkan sesuka hati agar pelanggan tidak terbeban.
“Tambahan pula, hasil jualan kita ketika ini pun masih belum pulih,” katanya yang telah meniaga char kuetiau di Lembah Pantai sejak enam tahun lalu.
Baru-baru ini tular laporan harga minyak masak botol 5kg dua jenama terkenal meningkat kepada RM45 berbanding harga sebelum pandemik sekitar RM30 hingga RM35.
Bagaimanapun, Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, minyak masak tersebut tidak dikawal mengikut Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan (AKHAP) 2011 kerana ia kategori minyak masak campuran.