Kesatuan Eropah akui tiada keperluan dos ke-4 Covid-19

Kesatuan Eropah akui tiada keperluan dos ke-4 Covid-19

Agensi kesihatan Kesatuan Eropah (EU) mengakui tiada bukti untuk menyokong penggunaan dos keempat vaksin Covid-19 yang dikeluarkan oleh Pfizer dan Moderna dalam kalangan populasi awam.

Menurut Agensi Perubatan Eropah (EMA) dan Pusat Eropah untuk Kawalan dan Pencegahan Penyakit (ECDC) dalam satu kenyataan bersama, tiada bukti jelas menunjukkan perlindungan vaksin mencegah penyakit serius semakin berkurangan dalam golongan dewasa yang mempunyai sistem imun normal berusia 60 hingga 79 tahun.

Namun, kedua-dua agensi itu tidak menolak penggunaan dos keempat bagi golongan usia tersebut jika situasi epidemiologikal berubah.

Kedua-dua badan itu juga bersetuju dos keempat boleh diberikan kepada individu dewasa berusia 80 tahun ke atas.

Perkara itu dinyatakan seminggu selepas barisan menteri kesihatan Eropah menggesa blok berkenaan menyokong pemberian dos keempat vaksin Covid-19 kepada penduduk berusia atas 60 tahun bagi meningkatkan imuniti.

Kajian yang dilakukan di Israel sebelum ini menunjukkan warga emas yang menerima dos penggalak kedua menggunakan vaksin keluaran Pfizer mempunyai kadar kematian 78 peratus lebih rendah berbanding mereka yang hanya menerima satu dos penggalak.

EMA dan ECDC menyatakan tiada bukti konklusif mengenai ‘nilai tambah dos keempat’ bagi mereka yang berusia bawah 60 tahun.

Sementara itu, kedua-dua agensi berkenaan juga akan mempertimbangkan masa terbaik untuk memberikan dos tambahan.

Perkara itu mungkin dilakukan selepa vaksin sedia ada dikemas kini apabila kempen ‘pemberian vaksin semula’ dijangka bermula pada musim luruh ini.