Kesatuan Sekerja KTM dakwa Wee Ka Siong lanjut kontrak syarikat ‘blacklist’

Kesatuan Pekerja Keretapi Tanah Melayu (RUM), menyifatkan tindakan Menteri Pengangkutan Wee Ka Siong melanjutkan kontrak Syarikat Majestic Engineering Sdn Bhd dengan kerjasama China Railway Rolling Stock Corp (CRRC) Dalian dari China sebagai satu kesilapan.
Memetik laporan FMT, Presiden Kesatuan Pekerja Keretapi Tanah Melayu (RUM) Abdul Razak Md Hassan ketika menyuarakan bantahan itu menganggap syarikat terbabit gagal menyerahkan projek “overhaul” lokomotif 29 kelas mengikut tempoh yang ditetapkan.
Katanya, disebabkan kegagalan syarikat itu menyelesaikan projek yang ditetapkan menyebabkan Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) hilang hasil pendapatan sehingga memberi kesan kepada bayaran gaji pekerja.
“Pihak kesatuan tidak berpuas hati dengan prestasi syarikat berkenaan yang gagal menyiapkan ‘overhaul’ 20 lokomotif mengikut kontrak yang ditetapkan selama 3 tahun sejak 2017,” katanya.
Katanya, syarikat terbabit sebelum ini hanya mampu siap sebuah lokomotif sahaja dalam tempoh 3 tahun kontrak sejak 2017, manakala selepas lanjutan kontrak selama tiga kali selepas itu yang mengambil masa 349 hari dari 6 November 2020 hingga 27 Mac 2022 hanya dua lokomotif mampu disiapkan, menjadikan jumlahnya tiga buah.
Razak juga berkata pihak kesatuan mempersoal bagaimana kontrak “overhaul” asal bagi 20 lokomotif telah dikurangkan atau dipinda kepada 10 sahaja malah menyifatkannya sebagai “memberi muka kepada syarikat berkenaan kerana… projek overhaul 29 kelas adalah projek sakit”.
Beliau turut mendakwa pemberian projek kepada syarikat itu sejak 2017 rundingan terus tanpa tender terbuka.
Susulan itu, katanya, RUM menggesa menteri pengangkutan menghentikan segala perkara yang merugikan KTMB, kakitangan dan rakyat.
Sebelum ini Wee memaklumkan pakar lokomotif dari CRRC tidak dapat melakukan kerja penyelenggaraan pada 2020 dan 2021 akibat penularan Covid-19