Ketahui hak-hak wanita selepas penceraian dari sudut Perundangan Syariah

Ketahui hak-hak wanita selepas penceraian dari sudut Perundangan Syariah

 

1. Hak terhadap Nafkah Iddah

– Wanita yang diceraikan berhak mendapat Nafkah tempat tinggal, pakaian, makan dan minum sepanjang tempoh Iddah. Kiraan Nafkah ini diambil berdasarkan pendapatan bekas suami dan kos penginapan (tempat tinggal), pakain serta perbelanjaan makan minum wanita yang diceraikan.

– Contoh: sekiranya wanita tersebut dihalau daripada kediaman, bekas suami wajib mencarikan wanita tersebut rumah sewa/hotel sepanjang tempoh Iddah. Sekiranya bekas suami gagal melaksanakan kewajipan tersebut, wanita yang diceraikan dan telah dihalau boleh mencari tempat lain untuk disewa dan bekas suami hendaklah membayar sewa, bil air dan bil elektrik rumah tersebut.

– Sekiranya tidak, maka si bekas suami hendaklah membayar bil-bil elektrik, air dan perbelanjaan dapur wanita yang telah diceraikan.

– Tetapi, sekiranya pasangan bersetuju untuk membayar suatu jumlah yang dipersetujui bersama sepanjang tempoh Iddah juga dibenarkan.

2. Hak terhadap Muta’ah

– Ramai yang keliru dan tidak faham berkaitan Muta’ah ni. Muta’ah adalah sagu hati daripada bekas suami kepada bekas isteri sepanjang tempoh perkahwinan mereka. Tujuan utama Muta’ah adalah bagi membolehkan dan memudahkan si isteri yang diceraikan untuk melangsungkan dan memulakan kehidupan baharu.

– Selalunya kadar kiraan Muta’ah ini diambil berdasarkan kemampuan suami, status sosial isteri (keturunan isteri), sifat dan perwatakan isteri.

– Kiraan Muta’ah juga diambil berdasarkan pekerjaan dan pendapatan suami ketika perceraian berlaku.

– Diingatkan bahawa jumlah ini akan ditentukan di Mahkamah kelak.

3. Hak terhadap Harta Sepencarian.

– Harta Sepencarian adalah harta-harta yang diperoleh oleh pasangan sepanjang tempoh perkahwinan.

– Kiraan adalah berdasarkan harta yang diperolehi secara bersendirian atau bersama-sama sepanjang tempoh perkahwinan.

– Selain itu, kiraan hendaklah berdasarkan sumbangan secara langsung atau tidak langsung.

– Sumbangan Secara Langsung contohnya: si suami beli rumah secara bersama-sama dengan isteri di mana perjanjian jual beli (S&P) rumah kelamin tersebut terdapat nama si isteri. Contoh lain, rumah dibeli oleh suami loan atas nama suami, S&P rumah tersebut nama suami seorang tetapi ansuran bulanan dibayar oleh isteri, kos renovasi rumah isteri yang bayar, pembelian perabot pun dibayar oleh isteri.

– Sumbangan Secara Tidak Langsung contohnya: si isteri tidak bekerja/suri rumah. Rumah dibeli dan ditanggung sepenuhnya oleh si suami. Dalam senario ini, peranan wanita sebagai caretaker rumah tangga mereka adalah dikira. Selain itu, pengorbanan melahirkan dan membesarkan anak2 dan dengan pengorbanan itu membolehkan suami fokus kepada karier dan boleh mendapat pendapatan yang tinggi. Wanita yang bekerja juga boleh menuntut Harta Sepencarian atas kiraan Sumbangan Secara Tidak Langsung

– Kiraan Sumbangan Langsung dan Tidak Langsung boleh dipakai untuk harta-harta lain seperti kenderaan, tanah dan sebagainya.

4. Nafkah Anak-Anak.

Ini bukan hak bekas isteri tetapi hak Anak-Anak yang dijaga dan tinggal besama bekas isteri. Selalunya bawah 18 tahun. Nafkah Anak-anak terbahagi kepada dua iaitu Nafkah Bulanan dan Tahunan.

– Contoh Nafkah Bulanan: perbelanjaan keperluan bualanan anak-anak seperti makan, minum, pakaian dan tempat tinggal, yuran sekolah/taska (swasta selalunya perlu dibayar secara bulanan).

– Contoh Nafkah Tahunan: pakaian Hari Raya Aidil Fitri dan Aidil Adha, yuran sekolah dan sebagainya.

– Si bapa perlulah cermat membayar Nafkah Bulanan dan Nafkah Tahunan untuk anak-anak.

Sekian, semoga bermanfaat.

Fatihah Salahuddin,
Peguam Syarie

Penulis, Fatihah Salahuddin adalah merupakan Peguam Syarie