Ketahui masjid pertama di Malaysia yang punyai ciri-ciri Masjid Nabawi

Ketahui masjid pertama di Malaysia yang punyai ciri-ciri Masjid Nabawi

Kemunculan Masjid Faidur Rahmah di Kampung Penchala di sini menambahkan lagi usaha melebarluaskan syiar Islam di negara ini.

Masjid yang siap dibina tahun lalu merupakan rumah ibadat pertama di Malaysia yang bercirikan Masjid Nabawi di Madinah iaitu masjid kedua paling suci bagi umat Islam.

Menurut pengasasnya, Datuk Abul Hassan Mohamed Rashid, pembinaan masjid itu yang turut dijadikan pusat pembangunan Islam diilhamkan dari Masjid Nabawi dan masjid di Tarim, Yaman.

Kata beliau, pembinaan masjid itu dicadangkan ulama berpengaruh dunia iaitu Habib Umar Muhammad yang memiliki salasilah keturunan Nabi Muhammad SAW.

Masjid01
Abul Hassan Mohamed Rashid

“Tempat ini menjadi salah satu lokasi Habib Umar menyampaikan ilmu agama ketika menjelajah ke Asia Tenggara. Di situ, saya mendapat ilham untuk mengimarahkan lagi supaya Islam berkembang di tempat ini.

“Masjid Faidur Rahmah ini akan mengadakan majlis ilmu setiap bulan secara terbuka untuk semua yang dipimpin oleh Habib Ali Zainal Abidin.

“Ia salah satu masjid di Malaysia yang mempunyai ciri-ciri Masjid Nabawi di Madinah,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Masjid itu dirasmikan Habib Umar yang juga pengasas dan Pengetua Dar Al Mustofa, Tarim, Yaman dalam satu majlis yang diadakan semalam.

Mengambil inspirasi Masjid Nabawi, bangunan itu siap dibina pada tahun 2022 dan boleh memuatkan lebih 1,000 jemaah dalam satu masa.

Masjid Faidur Rahmah menjalankan majlis ilmu secara mingguan yang dipimpin Habib Ali Zainal Abidin Abu dan terbuka untuk muslimin serta muslimat.

“Metod pengajian ilmu di Faidur Rahmah menyambung mata rantaian akidah Ahli Sunnah Wal Jamaah,” katanya.

Masjid02
Muzium dalam Masjid Faidur Rahmah menyimpan khazanah Nabi Muhammad SAW.

Dalam pada itu, Abu Hassan berkata, salah satu keistimewaan masjid berkenaan ialah muziumnya yang menyimpan khazanah Nabi Muhammad SAW.

Ujar beliau, tarikan utama tempat itu adalah muzium yang menyimpan khazanah barangan junjungan besar Nabi Muhammad SAW dan barang peninggalan ulama terdahulu.

“Muzium di masjid ini mengumpulkan banyak khazanah Islam yang cukup bernilai,” katanya.